Shamsul Iskandar Mohd Akin

KUALA LUMPUR – Pas perlu menjelaskan tuduhan kononnya kerajaan menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong ke-16 berhubung kewujudan titah adendum terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ini kerana, dakwaan tanpa bukti yang dilemparkan pimpinan parti itu bersifat tuduhan jahat untuk memburukkan kerajaan yang semakin diterima rakyat ketika ini.

Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin turut merumuskan Pas sengaja menjadikan titah adendum sebagai isu untuk menyerang kerajaan dan juga Perdana Menteri yang kini mempunyai populariti yang sangat baik.

“Saya punya cakupan pertamanya ialah kita lihat pembangkang terumatanya Pas menunggang isu ini untuk kepentingan politik mereka.

“Saya ingin pulangkan kepada Pas, jelaskan di mana yang dikatakan derhaka ini? Sebab proses yang berlaku sekarang ialah proses di Mahkamah Rayuan iaitu berkait tentang permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran melakukan semakan kehakiman.

“Kalau katakana Peguam Negara bercadang untuk membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan ia akan dibahaskan lagi

“Sebab itu konteks derhaka yang dimainkan oleh Pas itu adalah bersifat politik. Isu derhaka ini kalau kita tidak menuruti ataupun menderhaka kepada Istana.

“…tapi dalam konteks ini proses yang dilakukan oleh Peguam Negara terutamanya Lembaga pengampunan itu adalah proses yang ada dalam Perlembagaan,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, Shamsul Iskandar mendakwa, apa yang dilakukan oleh Pas ketika ini adalah helah politik bagi mengabui mata rakyat dengan melemparkan tuduhan tidak sewajarnya kepada Perdana Menteri dan juga kerajaan.

Dakwanya, Pas mahu mewujudkan ketidak stabilan dalam kerajaan dengan menunjukkan seolah-olah Perdana Menteri sebagai ketua negara yang tidak menghormati institusi diraja.

“Saya yakin warga Malaysia masih lagi siuman, masih lagi berfikiran rasional. Kita tahu ini proses di dalam mahkamah terutamanya anggota-anggota parti dalam kalangan UMNO.

“Biarlah mahkamah memutuskan apakah tindakan-tindakan seterusnya kerana perjalanan di mahkamah ini masih lagi Panjang,” tambahnya.

Terdahulu hari ini, Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari. mendesak Anwar melepaskan jawatan Perdana Menteri susulan dakwaan kerajaan menyembunyikan kewujudan titah adendum sebelum Najib memfailkan permohonan di mahkamah.

Tindakan ini katanya, merupakan satu kesalahan besar yang menafikan hak Najib untuk mendapat keadilan sewajarnya.

Malah beliau berkata, tindakan menafikan kewujudan titah adendum ini mencerminkan ketidakjujuran kerajaan dalam menangani isu keadilan dan hak individu.

Tegasnya, ia bukan sahaja mencemarkan sistem kehakiman negara tetapi, juga mencetuskan persoalan besar mengenai integriti kepimpinan negara. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast