IPOH – Dua guru tadika dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas dakwaan bersama mengabaikan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun tanpa pengawasan sehingga menyebabkan mangsa mati lemas dua tahun lalu.
Tertuduh, S P Esther Christina, 60, dan M Manisah, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara bersama oleh jurubahasa dalam bahasa Inggeris di hadapan Hakim Azizah Ahmad.
Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan ke atas V Thanes Nair, 4, telah meninggalkan kanak-kanak tersebut tanpa mengadakan persediaan bagi pengawasan dan pemeliharaan yang berpatutan baginya.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah tadika di Bandar Baru Sri Klebang, Chemor di dalam daerah Kinta pada jam 10.07 pagi, 17 April 2023.
Bagi perbuatan itu kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 33(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang boleh dihukum mengikut Seksyen sama, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Nazreen Zabarudin manakala tertuduh diwakili peguam bela, Gary Xavier dan Jason Anthony.
Mohamad Nazreen kemudiannya memohon mahkamah mengenakan jaminan RM15,000 bagi setiap tertuduh.
Gary dalam rayuannya berkata, anak guamnya, Esther Christina mempunyai masalah kesihatan pada tahun lalu ketika menjalani prosiding mahkamah dan masih mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC).
Katanya, anak guamnya juga sentiasa menghadiri prosiding mahkamah tanpa gagal sejak 11 Julai 2023.
Dalam pada itu, Gary memaklumkan seorang lagi anak guamnya iaitu Manisah berpendapatan RM1,900 dan dijangka akan melangsungkan perkahwinan pada bulan depan.
Sehubungan itu, beliau memohon supaya jaminan dikurangkan kepada RM2,500 bagi setiap anak guamnya.
Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh serta menetapkan 8 April depan untuk sebutan semula kes.
Esther Christina yang akan bersara minggu depan pernah dihadapkan ke Mahkamah Majistret dua tahun lalu dan Mahkamah Sesyen lain tahun lepas atas tuduhan yang sama.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan memohon dia dilepas tanpa membebaskan (DNAA) sehingga didakwa bersama Manisah yang juga rakan sekerjanya, hari ini. – MalaysiaGazette