Anggota Maritim Malaysia melakukan operasi mencari dan menyelamat dua nelayan yang hilang sebelum ditemui di perairan Indonesia semalam.

MUAR- Dua nelayan tempatan yang hilang di laut selepas keluar menangkap ikan di perairan daerah ini ditemui selamat oleh penduduk Bengkalis, Indonesia, semalam.

Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohammad Zaini Zainal berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan mereka daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada pukul 11 pagi semalam.

“Sebaik menerima maklumat, bot Penggalang 30 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) diatur gerak ke lokasi kejadian untuk melaksanakan operasi mencari dan menyelamat.

“Walau bagaimanapun, pada pukul 6 petang semalam, keluarga mangsa telah menghubungi pihak polis dan memaklumkan bahawa mangsa telah ditemui selamat di perairan Indonesia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, mangsa, Asamadi Omar, 55, dan Zulkefli Mad, 46, memberitahu bot yang mereka naiki mengalami kerosakan enjin dan hanyut sehingga ke perairan negara jiran itu.

Kedua-dua mangsa katanya, kini dalam proses untuk dibawa pulang ke Malaysia.

“Pihak Maritim Malaysia mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua agensi yang terlibat serta pihak berkuasa Indonesia yang turut membantu dalam usaha pencarian mangsa,” ujarnya.

Orang ramai tambahnya, boleh menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah dan kecemasan di laut dengan menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Batu Pahat menerusi talian 07-4349343 atau talian kecemasan 999 yang beroperasi 24 jam untuk tindakan segera. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here