KUALA LUMPUR – Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) menandatangani Memorandum Kolaborasi (MoC) Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bagi kerjasama dalam meningkatkan keupayaan sawit negara serta memperkasa pekebun kecil.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, FGV, menerusi anak syarikatnya, akan menyokong MPOB untuk meningkatkan fungsi platform seperti GeoPALM dan Sistem Pengurusan Pintar Sawit (SIMS).
Ini melibatkan integrasi teknologi canggih termasuk pemetaan geolokasi, pengesahan data, dan penggunaan rantaian blok untuk meningkatkan elemen kebolehkesanan.
“Kerjasama antara MPOB dan FGV ini memperlihatkan bagaimana pengumpulan data daripada pekebun kecil dilaksanakan, khususnya untuk dimasukkan ke dalam pangkalan data yang diuruskan oleh MPOB dalam SIMS.
“Apa yang FGV lakukan hari ini ialah untuk meningkatkan kebolehkesanan dalam syarikat FGV,”.
Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani MoC itu di sini hari ini.
Selain itu, Pengerusi FGV, Tan Sri Rastam Mohd Isa berkata kerjasama itu mencerminkan komitmen FGV dalam menyokong usaha kerajaan untuk memajukan industri sawit Malaysia, terutamanya dalam menghadapi cabaran global dan persepsi antarabangsa.
“FGV amat menghargai usaha kerajaan dalam mempromosikan industri ini di tengah-tengah cabaran pengeluaran dan permintaan komoditi global.
“Usaha menangani kempen anti-minyak sawit adalah penting bagi memastikan industri ini kekal kompetitif di peringkat antarabangsa,” katanya.
Tambah beliau, menerusi kerjasama ini, syarikat akan terus membangunkan masa depan sektor minyak sawit Malaysia bagi mengukuhkan ekonomi dan kedudukannya di peringkat global.
“Kami bukan sahaja memajukan sistem kebolehkesanan untuk memenuhi piawaian global tetapi juga melengkapkan pekebun kecil dengan alat dan pengetahuan yang diperlukan untuk berkembang maju dalam pasaran yang semakin kompetitif,” jelasnya.
Sementara itu, Pengerusi MPOB Datuk Mohamad Helmy Othman Basha berkata kerjasama berkenaan akan memberi tumpuan kepada meningkatkan ketelusan data melalui portal GeoPALM, mematuhi piawaian antarabangsa, dan menganalisis data secara tepat bagi meningkatkan kecekapan operasi serta hasil tanaman.
Katanya, usaha ini juga dijangka mengurangkan risiko pencemaran alam sekitar dan memperkukuh kedudukan minyak sawit Malaysia di peringkat global.
Penyepaduan data geospatial akan membantu pekebun kecil, industri, dan penggubal dasar memastikan pematuhan piawaian global, memperkukuh kredibiliti minyak sawit Malaysia.
FGV, yang memperoleh 4.5 juta tan tandan buah segar (TBS) daripada peneroka FELDA dan pekebun kecil bebas, telah melibatkan lebih 1,500 pekebun kecil dalam program kemampanan pada 2024, dengan rancangan pengembangan menjelang 2025.-MalaysiaGazette