KUALA LUMPUR – Peristiwa kehakiman yang ‘memangsakan’ mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkaitan titah adendum didakwa mendedahkan wajah sebenar kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang didominasi DAP.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyifatkan apa yang berlaku meneruskan pendekatan pada zaman penjajah dahulu.
“Raja-raja dipenjarakan dalam sistem penjajah, dalam keadaan tidak berdaulat sepenuhnya (tidak berkuasa sepenuhnya) dalam urusan pemerintahan negara, apabila agama Islam dilucutkan kuasanya.
“Raja hanya digunakan menjadi topeng apabila rakyat menentang penjajah. Maka, raja-raja difitnah oleh penjajah lalu menuduh rakyat pula derhaka terhadap raja-raja,” ujarnya dalam Minda Presiden Pas hari ini.
Menurut Abdul Hadi, rakyat sekarang menyaksikan betapa hukum Islam dihilangkan sedikit demi sedikit dan kuasa umat Islam pula dirobohkan.
“Kita menyaksikan kerajaan PH mula berkuasa dengan slogan perintah raja-raja untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan. Selepas itu ditopengkan raja-raja menjadi alasan kepada setiap teguran dan kritikan pihak pembangkang yang dikatakan kononnya menentang raja-raja.
“Mereka juga mengambil tindakan secara terpilih terhadap musuh-musuh politik atau dendam kesumat. Adapun kesalahan sendiri yang lebih besar daripada 1MDB berlipat kali ganda oleh beberapa tokohnya pula ditutup dan disembunyikan di bawah karpet atau hanya bertindak separuh jalan sahaja.
“Kesalahan yang terbuka kini ialah tindakan membakul sampahkan surat hak pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) sehingga mendedahkan wajah derhakanya. Inilah gambaran wajah yang sebenar kerajaan PH yang berkonsep sekularisme yang berprinsipkan kebendaan semata-mata selaras dengan keahliannya yang terbuka kepada semua, campuran kalangan yang baik dan buruk, betul dan sesat, beragama dan tidak beragama termasuk yang tidak berakhlak yang boleh dikhadamkan semuanya demi kepentingan kebendaan yang menjadi kiblatnya,” katanya.
Menurut beliau, DAP yang menjadikan sekularisme sebagai dasarnya boleh menerima keahlian daripada semua jenis manusia termasuk daripada kalangan paling ekstrem yang tidak beragama dan tidak bertuhan.
“Malah haluan kiri yang paling ekstrem seperti komunis, sehinggalah yang bebas liberal tidak ada batas halal dan haram serta tidak membezakan antara hak asasi manusia dengan hak asasi binatang yang paling ganas.
“Bahkan, boleh bergabung dengan semua kumpulan daripada kalangan yang tidak beragama dan beragama tetapi hanyut. Termasuklah orang-orang Melayu dan para agamawan yang boleh dibeli,” katanya lagi.
Abdul Hadi mengumpamakannya seperti anjing, jika kamu menghalaunya dijulurkan lidahnya dan jika kamu membiarkannya dijulurkan lidahnya juga.
“(Ia) termasuklah janji bohong dan menipu dalam masa Pilihan Raya Umum (PRU) dan selepas menjadi kerajaan. Semuanya ditipu oleh mereka, tidak kira rakyat mahupun raja. Khususnya terhadap orang-orang Melayu yang mudah lupa. Inilah pelaksanaan teori sekularisme yang memisahkan urusan cara hidup daripada agama sebagaimana yang ditegaskan dalam perlembagaan partinya dan kenyataan terbuka para pemimpinnya, katanya.
Soal Abdul Hadi, adakah ia pakatan yang menjunjung kasih atau menderhaka titah, tepuk dada tanya iman. – MalaysiaGazette