JOHOR BAHRU- Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) merupakan langkah strategi untuk pembangunan negeri ini menerusi pembukaan lebih banyak perniagaan dan huhungan ekonomi antara dua negara itu.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pada masa sama dapat meningkatkan pelaburan dan pengukuhan sektor-sektor utama di negeri ini serta lebih peluang pekerjaan berpendapatan tinggi akan wujud.

“Syukur Alhamdulillah, saya berkesempatan menghadiri Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura Ke-11, yang berlangsung semalam hingga hari ini di ibu negara.

“Saya amat berbesar hati dapat menyaksikan pemeteraian perjanjian JS-SEZ yang telah ditandatangani kerajaan Malaysia dengan kerajaan Singapura.

“Majlis berkenaan disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook miliknya hari ini.

Onn Hafiz memberitahu, JS- SEZ merupakan perjanjian hasil daripada perbincangan yang mendalam dan persediaan yang teliti antara kerajaan kedua-dua negara.

Dalam pada itu, Onn Hafiz turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah bertungkus lumus untuk menjayakan perjanjian berkenaan.

“Terutamanya Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Invest Johor dan semua yang terbabit.

“Semoga segala perancangan dan usaha ini dapat dilaksanakan dengan jayanya, dan seterusnya memberi limpahan manfaat kepada rakyat Johor serta Malaysia secara keseluruhan. Insya-Allah, kita akan menyaksikan transformasi positif untuk Johor,” katanya.

JS-SEZ kini merangkumi kawasan pembangunan Iskandar, Forest City, Pengerang Integrated Petroleum Complex, dan Desaru, dengan keluasan tanah 357,128 hektar.

Wilayah pembangunan Iskandar turut meliputi Pusat Bandaraya Johor Bahru, Iskandar Puteri, Tanjung Pelepas-Tanjung Bin, Pasir Gudang, Senai-Skudai, dan Sedenak.

Ia juga memberi tumpuan kepada sektor keutamaan baharu seperti aeroangkasa, elektrikal dan elektronik, kimia, peranti perubatan, dan farmaseutikal.

Selain itu, sektor lain seperti perkhidmatan perniagaan, ekonomi digital, penjagaan kesihatan, pembuatan, pelancongan, pendidikan, logistik, tenaga, dan keselamatan makanan turut diberi perhatian.- MalaysiaGazette

Caption gambar: Onn Hafiz (kiri) berjabat tangan dengan Lawrence sambil diperhati Anwar semasa menghadiri Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura Ke-11, yang berlangsung di Kuala Lumpur.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here