KUALA LUMPUR – Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dijangka dapat menarik lebih banyak pelaburan dalam sektor logistik terutamanya syarikat yang berpindah dari Singapura ke Johor.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata Johor mempunyai kelebihan kerana mempunyai bilangan gudang yang lebih banyak dan besar.
“Hal ini secara tidak langsung akan menyokong pertumbuhan sektor logistik yang menjadi salah satu tonggak utama JS-SEZ ini.
“Meskipun Singapura masih lagi mempunyai kelebihan dalam bidang tertentu dalam sektor lapangan terbang, pelabuhan, dan perdagangan, tetapi saya percaya banyak operasi belakang tabir boleh dipindahkan ke Johor.
“Kami berharap dapat bekerjasama dengan pengendali pelabuhan dan pihak berkuasa untuk menyediakan lebih banyak ruang serta tanah bagi tujuan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri sesi perbincangan pandangan kerajaan Madani terhadap keperluan infrastruktur kritikal di Malaysia, khususnya dalam sektor pengangkutan dan halangan kritikal, hari ini.
“Dengan menggalakkan inovasi dan menarik pelaburan, JS-SEZ dijangka dapat menjadi model kerjasama ekonomi yang mampan.
“Selain itu, Rangkaian Lebuh Raya ASEAN (Asean Highway Network) dan Saluran Paip Gas Rentas ASEAN (Trans-Asean Gas Pipeline) menunjukkan kesungguhan kami dalam meningkatkan kesalinghubungan serta keselamatan tenaga di rantau ini,” tambahnya.
Hari ini, Malaysia dan Singapura secara rasmi telah melancarkan JS-SEZ yang disasarkan dapat menarik 100 projek pelaburan dalam tempoh 10 tahun akan datang. – MalaysiaGazette