KUALA LUMPUR – Kerajaan hari ini mewartakan perintah larangan penerbitan, pengedaran dan pemilikan enam buah buku kerana bertentangan dengan budaya serta nilai murni masyarakat Malaysia.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkata, enam buku itu adalah ‘A Million Kisses in Your Lifetime’ oleh Monica Murphy; ‘Lose You to Find Me’ oleh Erik J Brown; ‘Punai’ oleh Asyraf Bakti; ‘Scattered Showers’ oleh Rainbow Rowell; ‘When Everything Feels Like the Movie’ oleh Raziel Reid dan ‘What If It’s Us’ oleh Becky Albertalli dan Adam Silverra.
“Justeru itu, KDN telah mewartakan Perintah Larangan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301] berkuat kuasa pada 19 Disember 2024 terhadap enam tajuk penerbitan melalui Warta Kerajaan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Semakan mendapati sekurang-kurangnya tiga buah buku itu mengandungi unsur atau karakter LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender).
Katanya, peruntukan di bawah Seksyen 7(1) akta itu menetapkan pencetakan, pengimportan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan enam hasil penerbitan tersebut adalah dilarang secara mutlak.
“Mana-mana individu yang melanggar larangan itu boleh dihukum mengikut Seksyen 8(2) akta itu yang membawa hukum penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.
“Kerajaan ingin menyatakan komitmen berterusan dalam melaksanakan tindakan kawal selia dan penguatkuasaan bagi mencegah penyebaran elemen, fahaman mahupun gerakan yang bercanggah dengan sosiobudaya tempatan demi keharmonian dan kesejahteraan bersama,” ujarnya. – MalaysiaGazette