KUALA LUMPUR – Rakyat mahu agar siasatan segera dan telus dijalankan untuk mengenal pasti dalang di sebalik isu ‘menyorok’ titah adendum melibatkan Datuk Seri Najib Razak.
Penganalisis politik, Syed Rosli Jamalulail berpandangan, semua pihak bertanggungjawab mesti dihadapkan ke muka pengadilan tanpa kompromi.
“Institusi diraja adalah simbol perpaduan dan kestabilan negara dan setiap titah baginda wajib dihormati serta dipatuhi sepenuhnya.
“Ketaatan kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) bukan sahaja tanggungjawab undang-undang tetapi juga kewajipan moral bagi setiap rakyat Malaysia khususnya mereka yang memegang jawatan dalam kerajaan,” kata yang juga Ahli Jawatankuasa UMNO Pandan dalam kenyataan hari ini.
Dalam isu titah mengenai kewujudan titah tambahan YDPA ke-16 berkenaan sambungan tahanan rumah kepada bekas Perdana Menteri itu, Syed Rosli menganggap ia seperti tidak ada perbincangan dalam Kabinet mengenainya.
“Adalah amat mengecewakan apabila perkara sepenting pengesahan Titah Adendum YDPA tidak dibincangkan langsung peringkat Kabinet. Kegagalan ini menunjukkan kecuaian serius dalam memastikan perkara berkaitan institusi diraja diberikan perhatian sewajarnya,” dakwanya.
Tiadanya perbincangan sehingga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail terpaksa memfailkan afidavit di mahkamah menggambarkan bukti jelas kegagalan pihak eksekutif dalam menangani isu ini dengan tanggungjawab dan hormat kepada YDPA.
“Pengeluaran surat rasmi oleh Tuanku Al Sultan Abdullah dari Istana Pahang bagi mengesahkan keberadaan titah adendum adalah langkah luar biasa yang tidak sepatutnya berlaku.
“Ia mencerminkan wujudnya elemen sabotaj atau pengabaian yang serius terhadap titah baginda yang merupakan amanah dan panduan kepada pentadbiran negara.
“Tindakan ini bukan sahaja menjejaskan nama baik institusi diraja tetapi juga mencerminkan kelemahan sistem pengurusan kerajaan dalam mematuhi titah YDPA,” katanya.
Selain itu, tegasnyua, mereka yang bertanggungjawab menyembunyikan atau tidak mendedahkan titah adendum kepada pihak berkepentingan didakwa dengan sengaja telah menderhaka kepada YDPA.
“Perbuatan ini bukan sahaja mencabar kedaulatan institusi diraja tetapi juga boleh dianggap sebagai jenayah besar di bawah undang-undang negara.
“Tindakan tegas perlu diambil terhadap individu-individu ini untuk memastikan integriti sistem pentadbiran negara tidak dicemari oleh kepentingan peribadi atau politik,” katanya. – MalaysiaGazette