JOHOR BAHRU – Tular video kemalangan membabitkan sebuah Proton Wira dipandu lelaki warga Pakistan keluar simpang secara tiba-tiba sebelum dua motosikal melanggar bahagian kiri dan kanan kenderaan tersebut di kawasan Tebrau, di sini.
Dalam video berdurasi 20 saat itu, kelihatan seorang pemuda berkaki ayam memegang topi keledar berjalan sebelum berlari bersama-sama dua lagi lelaki mengejar kereta terbabit.
Lelaki berkenaan kemudian membaling topi keledar ke arah kereta tersebut sebelum pemandunya memecut melarikan diri.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kemalangan itu berlaku di Jalan Tun Fatimah, Kangkar Tebrau, di sini, pukul 6.30 petang semalam.
Menurutnya, kemalangan tersebut melibatkan Proton Wira dan dua motosikal jenis Honda RS150 dan Y15ZR.
“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu kereta, seorang lelaki warganegara Pakistan berusia 25 tahun, keluar dari simpang untuk membelok ke kanan jalan.
“Dalam masa yang sama, sebuah motosikal yang sedang bergerak lurus dari arah kanan gagal mengelak lalu melanggar bahagian kanan hadapan kereta tersebut dan sebuah lagi motosikal dari arah kiri turut gagal memberhentikan kenderaan dan melanggar bahagian kiri kereta.
“Bagaimanapun, tiada kecederaan serius dilaporkan di mana pemandu kereta dan seorang penunggang motosikal tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, seorang lagi penunggang motosikal dilaporkan sedang menerima rawatan selepas cedera ringan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini.
Punca kemalangan ujarnya, dipercayai akibat kecuaian pemandu kereta tersebut yang tidak berhati-hati semasa keluar dari simpang.
Bagaimanapun katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes tersebut disiasat di bawah Rule3(2)(B) LN166/59.
Beliau memberitahu, tiada tangkapan dibuat setakat ini dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan 07-2182222.- MalaysiaGazette