KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan perbicaraan kes melibatkan seorang lelaki warga Israel, Avitan Shalom ditangguhkan pada Isnin depan susulan ketiadaan jurubahasa Ibani (Hebrew).
Untuk rekod, ia sepatutnya perbicaraan pertama Aviton yang sudah bermula sejak semalam namun ditangguh dua kali berikutan permohonan saat akhir tertuduh untuk menggunakan khidmat jurubahasa Hebrew.
Bagaimanapun Hakim Mahkamah Sesyen, Norina Zainol Abidin menegaskan, khidmat jurubahasa yang boleh berbahasa Hebrew bukan perkara mudah dan memakan masa namun prosiding akan tetap diteruskan dalam Bahasa Inggeris yang mudah.
“Sekiranya tiada jurubahasa Ibrani tersedia, semua pihak perlu bersedia untuk perbicaraan dimulakan dan menggunakan Bahasa Inggeris untuk ditafsir oleh jurubahasa mahkamah.
“Pihak pembelaan juga telah menawarkan diri mencari jurubahasa Hebrew bantu mahkamah, jadi kita minta mereka teruskan.
“Mahkamah tangguh hari ini dan kita akan teruskan bicara pada Isnin depan pukul 2.30 petang,” katanya hari ini.
Terdahulu ketika prosiding yang dikawal ketat lebih 200 anggota keselamatan, Aviton mengakui dirinya boleh berbahasa Inggeris namun tidak fasih.
Tertuduh juga mendakwa dirinya hanya mampu fasih bahasa Hebrew dan tidak bahasa lain.
Pada 27 Mac 2024, Avitan itu ditahan bersama enam pucuk pistol jenis Glock 19 Marine, Glock 17 Gen 4, Smith and Wesson, Sig Sauer dan Stoeger bersama 200 butir peluru yang diletakkan di dalam beg miliknya.
Hasil siasatan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Cawangan Khas (SB), mendapati lelaki tersebut memasuki negara ini pada 12 Mac lalu dengan menggunakan pasport Perancis menerusi penerbangan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Suspek kini berdepan dua pertuduhan memiliki 200 butir peluru dan memperdagangkan enam senjata api.
Dalam pada itu, peguam mewakili Avitan, Datuk Naran Singh berkata, pihaknya sudah bersedia meneruskan perbicaraan tetapi isu jurubahasa perlu diselesaikan mahkamah terlebih dulu.
Beliau berkata, kelalaian dan kecuaian peguam sebelum ini tidak boleh diletakkan kepada tertuduh yang sudah beberapa kali memberitahu dirinya perlukan jurubahasa Hebrew.
Kata Naran Singh, adalah kewajipan mahkamah mengikut Seksyen 270 memastikan sebarang keterangan diberikan dalam bahasa tidak difahami tertuduh perlu ditafsirkan kepadanya dalam bahasa terbuka di mahkamah terbuka dalam bahasa yang dia fahami.
“Ini adalah hak asasi mana-mana tertuduh,” katanya kepada media hari ini. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Prosiding warga Israel tangguh lagi, Avitan Shalom tetap mahu jurubahasa hebrew