KUALA LUMPUR – Mahkamah Tribunal Perumahan dan Pengurusan Strata Kuala Lumpur menetapkan 10 Mac bagi membuat keputusan berhubung kes Badan Pengurusan Bersama (JMB) Icon Residence Mont Kiara, yang mencabar keabsahan lantikan Badan Pengurusan (MC) Icon Residence Mont Kiara, yang disahkan oleh mahkamah pada Julai tahun lalu.
Presiden Tribunal, Zainal Azlan Abdul Kadir, dalam pada itu turut meminta pihak Suruhanjaya Bangunan (COB) mengemukakan hujah perundangan bagi mempertahankan tindakannya yang tidak memperakui keputusan Mahkamah Bahagian Kuasa-Kuasa Khas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Julai tahun lalu.
Zainal memerintahkan wakil COB, M. Palaniappan, untuk mengemukakan hujah tersebut dalam tempoh dua minggu, iaitu pada 20 Januari, sebelum pihaknya membuat keputusan.
Zainal beberapa kali bertanya kepada Palaniappan berkenaan keputusannya yang mengekalkan JMB, walaupun perkara tersebut telah diputuskan oleh mahkamah.
Palaniappan menjawab bahawa keputusan itu dibuat kerana pihaknya tidak mahu menerima sebarang implikasi berikutan tindakan JMB membawa semula kes berkenaan ke mahkamah.
Sehubungan itu, Zainal bertanya sama ada jika pihaknya membuat keputusan dan ia sekali lagi dicabar, adakah pihaknya akan mengekalkan tindakan yang sama.
Palaniappan gagal memberikan hujah yang jelas, menyebabkan Zainal mengarahkan beliau untuk mengemukakan hujah perundangan berkenaan tindakannya itu.
Selain itu, Palaniappan turut mempersoalkan kehadiran media, namun ia disanggah oleh Zainal, yang menyatakan bahawa perbicaraan tersebut bukan tertutup dan melibatkan kepentingan awam.
“Sesi ini adalah awam dan saya tidak boleh menghalangnya daripada menjadi pengetahuan umum. Wartawan juga boleh berada di sini tanpa menyalahi undang-undang,” tegas Zainal. – MalaysiaGazette