KUALA LUMPUR – Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) memohon Majlis Raja-Raja Melayu mengadakan mesyuarat khas berhubung keputusan Mahkamah Rayuan mengenai kewujudan titah adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Mohd Zai Mustafa berkata, ia bagi membincangkan tindakan khusus kepada pimpinan negara sekiranya mereka terlibat.
“Kami juga mendesak satu jawatan kuasa khas Parlimen ditubuhkan di bawah Raja-Raja Melayu bagi mengambil tindakan segera mengenai kedudukan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
“Kami sangat menghormati dan menghargai keputusan mahkamah kerana berani membuat keputusan yang bebas sekali gus bagi menjaga integriti badan kehakiman dan tidak diheret dalam ketidaktelusan perkara ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Semalam, bekas Perdana Menteri itu berjaya mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan titah adendum, Januari tahun lalu.
Titah adendum berkenaan dikatakan diperkenan YDPA ke-16 yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Keputusan berkenaan dicapai melalui penghakiman majoriti 2-1 oleh Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril, dengan Hakim Datuk Azizah Nawawi memberikan keputusan berbeza.
Penghakiman majoriti itu juga membenarkan permohonan Najib untuk mengemukakan bukti tambahan iaitu surat daripada Majlis Kesultanan Pahang kepada anaknya, Mohamad Nizar yang mengesahkan kewujudan titah adendum bagi menyokong permohonan semakan kehakimannya itu.
Mohd Zai juga berkata, jika ada campurtangan pimpinan negara, ia satu perbuatan yang boleh didakwa sebagai jenayah ‘derhaka’ kepada YDPA dan Majlis Raja-Raja Melayu kerana melanggar sumpah jawatan.
“Di mana bukti taat setia kepada YDPA Ia telah mengesahkan bahawa addendum tersebut wujud (2-1) dan sah sebagaimana surat yang dikeluarkan oleh Istana Pahang pada 4 Januari lalu.
“Timbul tanda tanya mengapa adendum tersebut tidak dapat disahkan wujud oleh kerajaan sejak 29 Januari 2024 (hampir setahun) diserahkan kepada Peguam Negara oleh YDPA,” katanya.
Lebih parah, katanya, apabila Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Parlimen dengan mengatakan titah tambahan itu sebagai khabar angin sahaja.
“Perdana Menteri pula menjawab sebagai subjudis sedangkan soalan yang dikemukakan di Parlimen sudah dibenarkan oleh Speaker Dewan Rakyat dengan mengambil kira subjudis.
“Kami sepakat akan membuat laporan polis seluruh negara agar pihak yang telah melakukan jenayah ‘penderhakaan’ ini disiasat dan diheret kemuka pengadilan dan dipecat daripada jawatan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette