KUALA LUMPUR- Malaysia akan mengenakan duti anti-lambakan sementara terhadap import produk Polyethylene Terephthalate (PET) yang berasal atau dieksport dari China dan Indonesia.
Duti anti-lambakan akan dikenakan dalam bentuk jaminan bank bersamaan nilai margin lambakan yang telah dikenal pasti dalam penentuan.
“Duti anti-lambakan sementara di antara 6.33 peratus hingga 37.44 peratus adalah perlu dikenakan ke atas import PET dari China dan Indonesia untuk mengelakkan sebarang kecederaan material lanjut terhadap industri tempatan dan akan berkuatkuasa bagi tempoh tidak melebihi 120 hari, mulai 7 Januari 2025,” kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah kementerian itu, penentuan muktamad akan dibuat tidak lewat daripada 6 Mei 2025.
Sehubungan itu, MITI mengalu-alukan pihak berkepentingan seperti pengimport, pengeluar/pengeksport asing dan persatuan- persatuan yang berkaitan dengan penyiasatan untuk memberi ulasan atau pandangan terhadap laporan penentuan awal kepada pihaknya, selewat-lewatnya pada 17 Januari 2025 (Jumaat), 5.30 petang (waktu Malaysia).
Pihak berkepentingan boleh mendapatkan salinan versi tidak sulit laporan Penentuan Awal dengan membuat permohonan bertulis kepada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) seperti berikut:
Pengarah
Seksyen Amalan Perdagangan
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Aras 9, Menara MITI
No. 7, Jalan Sultan Haji Ahmad Shah 50480 Kuala Lumpur, MALAYSIA
Nombor Telephone : (603) 6208 4632 / 4634 / 4636
Nombor Fax : (603) 6211 4429
Alamat E-mail : [email protected]
Untuk rekod, Pada 9 Ogos 2024, Kerajaan Malaysia telah memulakan penyiasatan duti anti-lambakan terhadap import produk Polyethylene Terephthalate (PET) yang berasal atau dieksport dari China dan Indonesia (dagangan subjek).
Penyiasatan duti anti-lambakan telah dimulakan selaras dengan Akta Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1993 (Akta) serta Peraturan Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1994 (Peraturan) berdasarkan petisyen yang difailkan oleh Recron (M) Sdn. Bhd.
Pempetisyen yang mewakili industri tempatan yang mengeluarkan produk serupa mendakwa PET yang berasal atau dieksport dari China dan Indonesia telah diimport ke Malaysia pada harga yang lebih rendah daripada harga yang dijual di pasaran domestik negara-negara tersebut dan ini telah menyebabkan kemudaratan material kepada industri tempatan di Malaysia.
Kerajaan telah membuat penentuan awal berkenaan penyiasatan anti-lambakan tersebut sepertimana diperuntukkan di bawah seksyen 23 dalam Akta. Kerajaan mendapati bahawa terdapat bukti yang mencukupi untuk meneruskan penyiasatan terhadap pengimportan dagangan subjek dari Republik Rakyat China dan Republik Indonesia.- MalaysiaGazette