KUALA LUMPUR – Malaysia memberi sokongan penuh terhadap Indonesia dalam usaha menaikkan kadar campuran biodiesel mandatori kepada 40 peratus (B40) dengan bahan api berasaskan minyak sawit menjelang 2025, meskipun terdapat penangguhan pelaksanaan awal tahun ini.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata langkah itu dilihat akan memberi manfaat besar kepada industri minyak sawit global, khususnya dalam mengurangkan tekanan terhadap pasaran.
“Malaysia sepatutnya berterima kasih kepada Indonesia atas sumbangan besar mereka kepada pasaran minyak sawit global.
“Bolehkah anda bayangkan jika mereka tidak menggunakan biodiesel? Justeru, 25 peratus itu perlu dihantar ke pasaran dunia. Ini akan mewujudkan tekanan terhadap harga,”.
Beliau berkata demikian ketika sidang media Majlis Menandatangani Memorandum Kolaborasi (MoC) di antara FGV Holdings Bhd dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
Menurut beliau, Indonesia kini menggunakan biodiesel B40, yang jauh lebih tinggi berbanding Malaysia yang masih berada pada tahap B10.
“Ini peluang bagi kita untuk belajar dan memperkukuh dasar serta inovasi dalam industri biodiesel, selaras dengan potensi besar yang dimiliki Malaysia dalam sektor ini,” katanya.
Kerjasama antara FGV dan MPOB bertujuan untuk memajukan industri minyak sawit Malaysia, dengan penekanan pada kebolehjejakan dan kelestarian.
FGV melalui anak syarikatnya akan membantu MPOB dalam mempertingkatkan platform seperti GeoPALM dan SIMS, dengan integrasi teknologi moden seperti pemetaan geolokasi dan rantaian blok untuk meningkatkan ketepatan dan pematuhan peraturan global.
Kerjasama ini juga menumpukan kepada pengukuhan peranan pekebun kecil dalam pengeluaran minyak sawit lestari. Ia menyokong pekebun kecil untuk mematuhi piawaian Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO) dan syarat kebolehjejakan yang ditetapkan oleh Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR).
Selain itu, program ‘Kebun Angkat’ turut diperkenalkan untuk memberikan bantuan teknikal dan bimbingan kepada pekebun kecil dalam mengamalkan amalan pertanian lestari. Inisiatif ini diharapkan dapat meningkatkan daya saing pekebun kecil dan memudahkan mereka untuk mengakses pasaran minyak sawit premium.- MalaysiaGazette