JOHOR BAHRU – Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mengadakan Program Kembiri Anjing Liar MBJB hari ini dan esok melibatkan 200 ekor yang ditangkap sekitar kawasan pentadbirannya.
Pengarah Kesihatan MBJB, Dr Aslinda Salikin berkata, program yang diadakan buat kali kedua itu mendapat kerjasama Social Hero Foundation (SHF) dan Vet Partners Malaysia.
Katanya, seramai 21 doktor dan 16 jururawat veterinar termasuk wakil dari SHF dan 25 anggota MBJB terlibat secara langsung dalam program memotong alat jantina haiwan berkenaan.
“Program kembiri anjing liar ini adalah merupakan siri kedua rentetan daripada program yang telah dilaksanakan pada Oktober lalu di mana sebanyak 219 ekor anjing telah dikembirikan dengan jayanya.
“Pada program kali ini, sebanyak 200 ekor anjing akan dikembirikan oleh doktor dan jururawat yang pakar dalam tugasan tersebut bagi memastikan segala proses berjalan lancar,” katanya ketika ditemui di Dewan Raya Taman Perling hari ini.
Turut hadir Program Koordinator SHF, Delaney Rodriguez.
Aslinda berkata, anjing-anjing liar itu ditangkap di beberapa kawasan perumahan dan perindustrian susulan aduan awam yang diterima menerusi pelbagai platform aduan sama ada di media sosial dan aplikasi Whatsapp.
Anjing-anjing tersebut turut diberikan ubat kutu serta vaksin rabies sebelum diberi kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang berminat bagi tujuan penjagaan.
Pihaknya turut menerima tajaan berjumlah RM142,000 daripada pihak swasta bagi menyokong program itu yang berupa makanan anjing, ubat kutu serta vaksin yang diperlukan anjing liar itu.
“MBJB bersama SHF dan Vet Partners Malaysia akan melaksanakan empat siri Program Kembiri Anjing Liar pada tahun ini dengan sasaran keseluruhan sebanyak 1,000 ekor anjing liar dikembirikan.
“Diharapkan kerjasama ini dapat membantu MBJB bagi mengurus dan mengawal populasi anjing liar di kawasan MBJB secara lebih efisien, berperikemanusiaan dan lestari,” ujarnya.- MalaysiaGazette