KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menurunkan 4,699 siaran media sosial daripada pelbagai platform dalam tempoh tujuh hari lalu.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, jumlah yang direkodkan itu melibatkan 72 peratus adalah siaran berkaitan perjudian dalam talian manakala 14 peratus adalah siaran berkaitan penipuan.
“Siaran berkaitan hanya dua isu ini sudah membentuk kira-kira 86 peratus dan kami akan terus memantau dan mengawal selia posting yang dianggap haram,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC 2025), di sini, hari ini.

Sementara itu, dalam ucapan perasmiannya, Fahmi berkata, MCMC telah menyekat lebih 3.1 bilion panggilan penipuan dan memproses hampir 12,000 aduan pada 2024.
“Ini adalah satu peristiwa penting yang menggariskan komitmen Malaysia untuk memerangi ancaman siber dan memupuk persekitaran digital yang lebih selamat.
“Ia adalah penting untuk mengimbangi kemajuan teknologi dengan peraturan yang kukuh bagi memastikan rakyat akan terus mencapai pertumbuhan teknologi yang mampan.
“Walaupun teknologi memacu kemajuan, kita mesti memastikan ia dilengkapi dengan peraturan yang melindungi pengguna dan menggalakkan inovasi,” katanya.
Mengenai IRC 2025, Fahmi berkata, antara usaha Malaysia untuk bekerjasama dengan rakan serantau dalam ASEAN adalah untuk mewujudkan standard digital bersama dan memupuk inovasi dalam kalangan negara anggota pertubuhan itu dan seterusnya.
“Sebagai pengerusi ASEAN, Malaysia berhasrat untuk menerajui pembangunan dasar serantau yang memfokuskan kepada keselamatan siber dan akses saksama kepada teknologi, memastikan rantau ini kekal berdaya saing di peringkat global,” katanya yang turut merasmikan robot kecerdasan buatan (AI) versi Malaysia bernama Ahmad pada majlis itu.
Sementara itu, Persidangan IRC 2025 selama dua hari merangkumi topik utama termasuk keselamatan siber, telekomunikasi dan teknologi baru muncul seperti AI dan pengkomputeran kuantum.
IRC 2025 berfungsi sebagai platform untuk peneraju industri, penggubal dasar dan inovator untuk bekerjasama dalam membina landskap digital yang selamat dan inklusif untuk masa hadapan. – MalaysiaGazette
