KUALA LUMPUR – MIC hari ini mempertikaikan kenyataan Penolong Setiausaha Penganjur DAP Johor, Kartiyaini Jeyapalan, yang mengkritik tindakan parti itu mengadakan doa khas untuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di kuil Batu Caves semalam.
Dakwa pemimpin DAP, tindakan melakukan upacara sembahyang khas itu sebagai penyalahgunaan rumah ibadat seperti kuil bagi masyarakat Hindu di negara ini.
Bagaimanapun, menurut Setiausaha Pemuda Kebangsaan MIC, Boovenswaran Munusamy, kritikan itu tidak ikhlas dan hipokrit kerana melakukan perkara sama iaitu mengadakan doa selamat di kuil ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjara.
“Adakah mereka yang ketika itu menjadi pembangkang pernah banyak kali menganjurkan doa di kuil-kuil bagi kesejahteraan pemimpin mereka? Pernah sembahyang ketika Anwar di penjara? Pernah berdoa untuk kemenangan sehingga menjadi Perdana Menteri dan sebagainya. Itu boleh pula?
“Bukankah ini pilih kasih dan ‘double standard’? Ini sangatlah bertentangan dengan slogan-slogan gah DAP dalam mempromosi keadilan dan demokrasi,” katanya dalam kenyataan sebentar tadi.
Mengulas lanjut, kata Boovenswaran, doa khas serta solidariti untuk Najib sangat penting kerana beliau merupakan antara mantan Perdana Menteri dan Presiden Barisan Nasional yang juga begitu besar jasanya kepada komuniti India ketika era beliau.
Jelasnya, bawah pentadbiran Najib, pelbagai inisiatif seperti pembangunan sekolah Tamil, unit SEDIC yang kemudian dijenamakan semula sebagai MITRA dan pelaksanaan Malaysian Indian Blueprint (MIB)telah memberi impak positif kepada masyarakat India.
“Najib adalah pemimpin yang memahami keperluan komuniti India. Legasi beliau terbukti dengan rekod pencapaiannya yang tidak boleh dipertikaikan, mengenangkan jasa-jasa itu MIC akan terus berdoa selain bersolidariti bagi beliau mendapatkan pengadilan buat dirinya pada bila-bila masa,” tegasnya.
Tambahnya, sehingga saat ini MIC sentiasa bersuara lantang dalam memperjuangkan isu komuniti India lagi-lagi dengan komitmen Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran yang seringkali membangkitkan pelbagai isu masyarakat India, termasuk pendidikan, sosio ekonomi kepada Anwar.
Boovenswaran turut menggesa DAP agar berhenti menyerang MIC dan sebaliknya menggunakan kedudukan mereka dalam kerajaan untuk menyuarakan isu komuniti India terutamanya pemimpin seperti Menteri Komunikasi dan Digital, Gobind Singh Deo.
“Kartiyaini seharusnya mendesak Gobind untuk membawa isu-isu seperti pendidikan berkualiti, peluang ekonomi, dan perwakilan kepada Kabinet ketika sedang pegang tampuk kuasa dan bukan asyik tuding jari setiap masa.
“Janganlah kita lupa, sebelum DAP mula berkuasa pada 2008, antara gimik politik murahan mereka setahun sebelum itu ialah mempergunakan isu-isu kuil sehingga membangkitkan emosi rata-rata masyarakat India.
“Adalah tidak masuk akal untuk mengkritik MIC yang mengadakan doa untuk seorang bekas Perdana Menteri yang telah banyak berjasa kepada komuniti India, sedangkan DAP sendiri gagal menunjukkan komitmen yang sama dalam menyelesaikan isu-isu penting komuniti itu,” – MalaysiaGazette