Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selepas perbicaraan prosiding bela diri kes penyelewengan dana 1MDB di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 5 DISEMBER 2024. (GAMBAR FAIL)

PUTRAJAYA – Datuk Seri Najib Razak memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, beliau tidak pernah mengarahkan pasukan petugas khas menyiasat penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dibubarkan pada 2015.

Bekas Perdana Menteri berkata, dakwaan itu tidak berasas yang hanya dikemukakan untuk menyalahkan beliau cara tidak adil tanpa disokong oleh bukti yang sahih.

“Ia merupakan penyelewengan fakta yang disengajakan dan cubaan untuk mensensasikannya, bukan untuk mengemukakan kebenaran,” ujar beliau.

Najib selanjutnya menyatakan, bukti jelas dikemukakan melalui keterangan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) ketika itu, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz yang Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali sendiri menyampaikan kepada ahli pasukan bahawa mereka tidak lagi diperlukan.

Ujar beliau, Mohamed Apandi turut memaklumkan agensi yang berkaitan akan meneruskan penyiasatan secara bebas dan ia dilakukan tanpa halangan.

“Pembubaran pasukan petugas pada 27 Julai 2015 bukan arahan daripada saya tetapi keputusan pentadbiran yang disampaikan di peringkat institusi yang sesuai,” ujar Najib.

Beliau selanjutnya menyatakan, pembubaran pasukan petugas tidak memberi kesan kepada siasatan terhadap 1MDB.

Tambahnya, BNM telah melancarkan siasatan bebas, yang membawa kepada denda RM15 juta yang dikenakan ke atas 1MDB pada 2016.

Fakta itu secara tegas menyangkal tanggapan tidak berasas bahawa pembubaran pasukan petugas khas bertujuan menghalang keadilan atau penyiasatan, jelas beliau.

Najib menyatakan demikian ketika membela diri terhadap empat pertuduhan menggunakan kedudukan bagi memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.

Prosiding di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini hakim Mahkamah Rayuan) berlangsung di Kompleks Mahkamah Istana Kehakiman di sini.

Perbicaraan bersambung esok.

Najib didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi pertuduhan pengubahan haram pula antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013 di lokasi sama.

Pertuduhan itu adalah mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here