JOHOR BAHRU – Pasangan kekasih dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengedar lebih 14.42 kilogram (kg) dadah pada bulan lalu.
Cheng Ee Fei, 32, dan teman wanitanya, Chan Pei Een, 34 mengangguk faham terhadap pertuduhan selepas dibacakan secara bersama-sama oleh jurubahasa di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin.
Namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa secara bersama-sama mengedar dadah berbahaya jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA) yang dianggarkan seberat lebih 14.42 kg (14,421.65 gram).
Kesalahan itu dilakukan dalam kenderaan jenis Toyota Vios hitam yang diparkir di tepi jalan Persiaran Mutiara Mas di sini pukul 12.30 tengah malam pada 28 Disember lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B (1)(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 (pindaan 1980) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau dipenjara seumur hidup dan tidak kurang 15 sebatan, jika sabit kesalahan.
Dalam mahkamah sama, Ee Fei dan Pei Enn turut berdepan dua pertuduhan memiliki dadah jenis Ketamin dengan anggaran berat 24.58 gram dan Methamphetamine dengan anggaran berat 2.75 gram.
Kesalahan itu dilakukan di lokasi, masa dan waktu yang sama.
Bagaimanapun kedua-dua mereka membuat pengakuan tidak bersalah dihadapan Hidayatul Syuhada selepas pertuduhan dibacakan.
Bagi kesalahan itu, pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta yang sama, dan dibaca bersama Sek 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak lebih lima tahun atau keduanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aishah Latif manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak menawarkan jaminan dan menetapkan 7 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi laporan kimia.
Pada Rabu lalu, Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar dilaporkan berkata, pihaknya berjaya menahan pasangan kekasih yang aktif mengedar dadah menggunakan kereta milik ahli keluarga serta merampas lebih 14 kilogram dadah membabitkan nilai lebih RM2.4 juta pada 28 Disember lalu.
Pasangan itu ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Iskandar Puteri dalam operasi khas membabitkan dua serbuan di kawasan Iskandar Puteri dan Johor Bahru.- MalaysiaGazette