GEORGE TOWN – Pasar Borong Pulau Mutiara di Gat Lebu Macallum di sini, yang menjadi tumpuan warga asing untuk bekerja digempur Jabatan Imigresen Pulau Pinang dalam Operasi Bersepadu yang dijalankan dengan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) pada Ahad lalu.
MBPP dalam kenyataan di Facebook malam tadi memaklumkan, operasi selama dua jam bermula pada pukul 3 pagi itu menghasilkan kejayaan tangkapan serta notis kompaun selepas berjaya mengepung seluruh kawasan termasuk mengawal pergerakan pekerja warga asing untuk diperiksa.
Jelasnya, seramai 57 warga asing diperiksa penguatkuasa imigresen sebelum 28 daripada mereka ditahan kerana melakukan kesalahan bawah Peraturan 17(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 6 (1)(c) dan Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).
“Dalam operasi itu, Jabatan Pelesenan MBPP telah mengeluarkan sebanyak enam Notis Tawaran Kompaun (NTK) keseluruhan yang mana empat berdasarkan UUK 3(1), UUK Establisymen Makanan MBPP 1991 : menjalankan establisymen makanan tanpa lesen sah.
“Manakala Dua NTK dikeluarkan berdasarkan kesalahan mengikut UUK 5 : UUK Iklan MPPP 2000 kerana mempamerkan papan iklan tanpa lesen MBPP
“Selain itu, sebuah syarikat perniagaan juga berdepan dengan tindakan undang-undang atas kesalahan Seksyen 56 (1) (d) Akta Imigresen 1959/63 kerana melindungi warga asing,” katanya.
Tambah kenyataan itu, MBPP akan terus mengadakan kerjasama dan operasi bersepadu dengan Jabatan Imigresen Pulau Pinang bagi semua aktiviti perniagaan yang melibatkan peniaga atau pekerja warga asing. – MalaysiaGazette