MELAKA – Seorang pegawai di Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) direman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini hari ini selepas dipercayai menerima suapan berjumlah lebih RM13,000 dua tahun lalu.
Perintah reman terhadap suspek lelaki berusia 43 tahun itu sehingga 13 Januari ini dikeluarkan Majistret Khairunnisak Hassni.
Terdahulu, suspek memakai pakaian lokap berwarna jingga tiba di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh di sini kira-kira pukul 9.12 pagi menaiki kenderaan khas diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Semalam, suspek ditahan pada jam 2.50 petang selepas hadir ke pejabat SPRM Melaka untuk memberi keterangan kes.
Difahamkan suspek yang bertugas di JAIM disyaki menerima suapan berjumlah lebih RM13,125 daripada seorang kontraktor sebagai dorongan membantu mendapatkan kerja-kerja pencetakan di jabatan berkenaan.
Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut yang disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Sabit kesalahan dikenakan hukuman denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana yang lebih tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette