KUANTAN – Pemandu dan kelindan sebuah lori dikhuatiri maut akibat tersepit di tempat duduk setelah lori muatan besi dinaiki mereka terbabas ke dalam gaung di kilometer 42.1 Lebuhraya pantai Timur (LPT) malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Penguasa Kanan Bomba 1, Mohd Salahuddin Isa berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 8.16 malam.
Sejurus itu, sembilan anggota dan pegawai daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP Bentong dikejarkan ke lokasi dan memulakan operasi menyelamat.
“Komander operasi lapor benar terdapat kemalangan jalan raya melibatkan sebuah lori yang membawa muatan besi terbabas ke dalam gaung anggaran ketinggian 20 meter.
“Terdapat mangsa lelaki disyaki berada di bawah kepala lori dan timbunan besi,” katanya dalam kenyataan pagi ini.
Beliau berkata, salah seorang daripada mangsa telah berjaya dikeluarkan kira-kira jam 8.30 pagi tadi dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Sehingga berita ini ditulis, status kedua-dua mangsa terbabit masih belum disahkan oleh pegawai kesihatan dan proses mengeluarkan seorang lagi mangsa yang tersepit masih dijalankan. – MalaysiaGazette