KUALA LUMPUR – Pembangkang dilihat sengaja menggunakan isu semakan kehakiman Datuk Seri Najib Razak untuk menyerang Perdana Menteri, kata Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim.
“Dalam soal murka dan derhaka ini adalah selayaknya kita bertanyakan kepada watak-watak seperti Tan Sri Muhyidin Yassin, Hamzah Zainuddin dan Takiyudin Hassan dalam kes pembatalan Ordinan Darurat semasa mereka ini di tampuk kuasa.
“Ternyata mereka lebih awal dan berpengalaman dalam soal derhaka kepada Raja-Raja Melayu yang lantas secara jelas membelakangi istana sehingga mengundang rasa dukacita YDPA (Yang di-Pertuan Agong) pada ketika itu,” katanya dalam kenyataan ringkas menerusi aplikasi Whatsapp hari ini.
Kamil mengulas mengenai tindakan lantang pembangkang berhubung perkara berkenaan susulan Keputusan Mahkamah Rayuan berhubung titah adendum yang dikeluarkan oleh Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah selaku Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Dalam pada itu, Kamil berkata, sikap yang diambil oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Amwar Ibarhim seperti yang telah dijelaskan di Dewan Rakyat beberapa minggu lalu adalah untuk menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan dengan tidak mendahului mahkamah.
Pada masa sama katanya, ia bertujuan untuk melindungi serta memelihara institusi diraja.
“Ternyata, lenggok bahasa yang digunakan Perdana Menteri terlalu tinggi untuk digarap oleh watak-watak berkepentingan ini.
“Justeru, usah bermain dengan sentimen yang mengelirukan rakyat, sebaliknya pimpinan pembangkang perlu lebih matang mengenai soal pemisahan kuasa, jalur hukum dan undang-undang,” tambahnya.
Semalam, Najib berjaya mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.
Titah adendum berkenaan dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Keputusan majoriti 2 -1 dibuat Hakim Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril membenarkan rayuan Najib untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman itu manakala Hakim Datuk Azizah Nawawi yang mengetuai panel menentangnya.
Sehubungan itu, panel memerintahkan supaya kes terbabit diremitkan (dikembalikan) ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur supaya merit semakan kehakiman terbabit dan diputuskan.– MalaysiaGazette