KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meraikan rakan sejawatnya dari Singapura, Lawrence Wong dalam satu majlis makan malam di Rumah Tangsi, malam tadi.
Menerusi hantaran di Facebook Perdana Menteri berkata, pertemuan itu sempena kedatangan Lawrence ke Malaysia susulan lawatan rasminya dalam Sesi Pemukiman Pemimpin-Pemimpin kedua-dua negara Ke-11.
“Pertemuan dengan Tamu Kenegaraan malam ini sedikit istimewa apabila diadakan di sebuah rumah agam bersejarah berusia 120 tahun, sekali gus mengangkat warisan di Kuala Lumpur.
“Saya dan PM Lawrence sempat meninjau pameran galeri seni di dalam Rumah Tangsi, sebelum kami makan malam bersama sambil mengadakan perbincangan empat mata terkait hubungan Malaysia dan Singapura, selain menyentuh beberapa isu tertunggak melibatkan kedua-dua negara sahabat,” katanya.
Ini merupakan lawatan kali kedua Wong ke Malaysia sejak dilantik Perdana Menteri Singapura pada 15 Mei 2024, dengan lawatan pertamanya pada 11 Jun tahun lalu.
Terdahulu, Wisma Putra dalam satu kenyataan semalam memaklumkan kedua-dua pihak dijangka menilai kemajuan hubungan dua hala Malaysia-Singapura, serta membincangkan isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama. -MalaysiaGazette