KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain digesa menyiasat pihak bertanggungjawab menyembunyikan Titah Adendum secara telus, tanpa berkompromi dengan tindakan penderhakaan.
Sekretariat NGO Gabungan Ikhlas Malaysia, Datuk Mohd Ridzuan Abdullah berkata, ia merupakan penderhakaan kepada Raja-Raja Melayu dan perlu disiasat kerana kesalahan menyentuh isu 3R.
“Adakah Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-16 ini hina sangat? Saya minta rakyat bangkit, kita perlu jaga kedaulatan YDPA kita.
“Khadam mana yang sembunyikan surat ini (Titah Adendum). Saya minta Ketua Polis Negara perlu siasat dengan telus.
“Isu ini juga melibatkan isu 3R, sebab hina Agong,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Semalam, Datuk Seri Najib Tun Razak berjaya mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum, Januari tahun lalu.
Titah Adendum berkenaan dikatakan diperkenan YDPA ke-16 yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Keputusan berkenaan dicapai melalui penghakiman majoriti 2-1 oleh Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril, dengan Hakim Datuk Azizah Nawawi memberikan keputusan berbeza.
Penghakiman majoriti itu juga membenarkan permohonan Najib untuk mengemukakan bukti tambahan iaitu surat daripada Majlis Kesultanan Pahang kepada anaknya, Mohamad Nizar yang mengesahkan kewujudan Titah Adendum, bagi menyokong permohonan semakan kehakimannya itu.
Menurut Ridzuan, beliau berasa hairan apabila pengampunan Diraja yang dikurniakan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh terlaksana ketika pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad pada 2018.
“Sewaktu Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar telah terima pengampunan daripada YDPA.
“Kenapa waktu itu, tiada masalah langsung, boleh terus dilaksanakan, tapi hari ini kita lihat Titah Adendum YDPA ke-16 disorok.
“Saya minta rakyat bangkit, kita perlu bangkit dalam isu ini, ia melibatkan kedaulatan negara, dan imej YDPA yang perlu dijaga,” katanya.
Ridzuan turut memberi amaran, insiden penderhakaan itu perlu dipandang serius dan tindakan tegas perlu diambil sebelum rakyat turun ke jalanan.
“Kita NGO akan buat satu laporan polis serentak seluruh Malaysia, kita minta rakyat bangkit, kita perlu jaga hak orang Melayu dan Raja-Raja Melayu.
“Jangan sampai NGO jadi kurang ajar, kita bangkit berarak, kita minta PM letak jawatan,” katanya. – MalaysiaGazette