JOHOR BAHRU – Polis menahan 20 individu warga tempatan kerana melanggar lampu isyarat merah termasuk lima daripadanya memandu dalam keadaan mabuk menerusi operasi khas dari Jumaat hingga Ahad lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, mereka yang ditahan itu melibatkan 19 lelaki dan seorang wanita berusia 16 hingga 45 tahun.
“Lima daripadanya didapati ditahan kerana memandu dalam keadaan mabuk.
“Mereka semuanya disiasat bawah Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan (15) tangkapan kes samseng jalanan bagi siasatan bawah Seksyen 42(1) APJ 1987,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, dalam operasi berkenaan sebanyak 467 saman dikeluarkan iaitu kesalahan bawah Seksyen 79 (2) APJ 1987.
“Ini termasuk penalti kerana mengabaikan arahan dan isyarat lalu lintas iaitu disabitkan dengan denda tidak kurang RM300 atau tidak melebihi RM2,000,” ujarnya.
Selain itu sebanyak 48 kenderaan yang disiasat bawah Seksyen 64 APJ 1987 disita dan sejumlah 1,271 saman PDRM (K), dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lain.
Dalam pada itu, beliau meminta kesemua pengguna jalan raya agar sentiasa fokus ketika memantu dan tidak melanggar lampu isyarat merah.
“Mereka juga perlu mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya kerana keselamatan di jalan raya adalah tanggungjawab bersama,” katanya.- MalaysiaGazette