SHAH ALAM – Drive For Hope – projek akhir pelajar Perhubungan Awam (PR), Universiti Teknologi MARA (UiTM), di bawah PRoud Agency yang diadakan baru-baru ini berjaya mencipta sejarah sebagai karnival automotif pertama yang dianjurkan di dalam universiti.
Dengan kerjasama Motor Drive Group (MDG), komuniti automotif terkemuka Malaysia, acara ini menampilkan lebih 40 buah kereta mewah dan vintaj pelbagai model dan jenama yang memukau para pengunjung.
MDG memeriahkan acara ini dengan kehadiran wakilnya dari Singapura untuk memberi sokongan dan memeriahkan lagi acara ini.
Selain mempamerkan teknologi dan inovasi dunia automotif, acara ini juga menyantuni anak-anak yatim dari Pertubuhan Nur Kasih dengan memberikan mereka pengalaman istimewa menerusi pelbagai aktiviti interaktif dan menyeronokkan sepanjang hari.
Antaranya Limbo Kereta untuk menguji kecekapan dan kreativiti pemandu, selain Rev Bunyi Kereta, pertunjukan bunyi enjin yang memukau pengunjung.
Cabutan Bertuah juga salah satu aktiviti utama yang menawarkan pemenang bertuah menaiki kereta eksklusif ahli MDG.
Pengarah Drive For Hope, Hanis Firzana Shamshahrin berkata, program ini memberi peluang pembelajaran secara praktikal kepada pelajar dalam penganjuran acara dalam bidang automotif.
Menerusi program ini, secara tidak langsung para penuntut UiTM berpeluang menimba ilmu dan pengalaman mengenai dunia permotoran.
“Lebih mengujakan apabila acara ini mendapat sambutan luar biasa daripada komuniti automotif apabila berjaya menarik 3,000 pengunjung,” katanya.
Hanis Firzana percaya Drive For Hope telah mencipta penanda aras baharu untuk program universiti. Kejayaannya membuktikan potensi besar gabungan inovasi,
kreativiti, dan keprihatinan sosial dalam mewujudkan impak positif kepada komuniti. – MalaysiaGazette