BUKIT MERTAJAM – Seorang pesalah kanak-kanak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap ibu saudaranya menggunakan pisau pada Jumaat lalu.
Remaja berusia 14 tahun yang tidak bersekolah itu membuat pengakuan tersebut dalam prosiding secara tertutup di hadapan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan.
Mengikut pertuduhan, remaja itu didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang wanita berusia 34 tahun menggunakan sebilah pisau.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah flat di Jalan Prai Jaya dalam daerah Seberang Perai Tengah pukul 11.30 pagi pada 3 Januari lalu.
Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfadzly Hassan manakala pesalah kanak-kanak itu diwakili peguam, Muhaimin Hashim.
Ketika prosiding, Zulfadzly mencadangkan jaminan RM5,000 namun Muhaimin dalam mitigasi rayuannya mohon jaminan minimum atas alasan tertuduh merupakan pesalah kanak-kanak selain mahu bersekolah semula bagi sesi akademik akan datang.
Mohd Harith kemudian membenarkan remaja itu diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tidak boleh mendekati atau mengganggu mangsa dan saksi kejadian.
Mahkamah turut menetapkan 20 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen perubatan serta forensik.
ARTIKEL BERKAITAN
Suspek tak pernah agresif sebegini – Suami mangsa tikam
Remaja 14 tahun ditahan polis, disyaki tikam ibu saudara dengan pisau
Media pada Jumaat lalu melaporkan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun ditahan polis selepas bertindak menikam perut ibu saudaranya menggunakan sebilah pisau dalam kejadian di Blok E2 Flat Taman Teluk Indah, Perai di sini.
Kejadian dipercayai berlaku pukul 11 pagi ketika mangsa berusia 35 tahun itu berada di rumahnya bersama anaknya berusia lima tahun.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 11.30 pagi sebelum pasukan penyiasat bergegas ke lokasi kejadian.
“Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku pertengkaran mulut antara suspek dengan mangsa di ruang tamu rumah berkenaan susulan mangsa menghalang suspek mahu tinggal semula bersama ibu kandungnya.
“Susulan itu suspek tiba-tiba bertindak menikam mangsa menggunakan pisau hingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan pada bahagian kiri perutnya,” katanya.
Selain itu, remaja tersebut juga didapati positif dadah jenis methamphetamin. – MalaysiaGazette