PUTRAJAYA – Datuk Seri Najib Tun Razak mengaku tidak terlibat menyingkirkan Tan Sri Abdul Gani Patail daripada jawatan Peguam Negara pada 2015 untuk menutup siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Bekas Perdana Menteri turut memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, penukaran jawatan Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed merupakan keputusan pentadbiran.
Gani Patail dipecat pada Julai 2015 atas alasan masalah kesihatan dan digantikan dengan Tan Sri Mohamed Apandi Ali.
Abu Kassim pula digantikan oleh Tan Sri Dzulkifli Ahmad pada 2016 sebelum bersara wajib pada 5 Disember 2020.
“Dalam isu Abdul Gani, saya pernah berniat mengesyorkan pelantikannya sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan. Namun, rancangan itu tidak menjadi kenyataan.
“Penukaran Abu Kassim adalah sebahagian daripada rombakan pentadbiran dan tiada kena mengena dengan sebarang arahan atau gangguan daripada saya,” ujar beliau.
Sehubungan itu, Najib menyatakan, dakwaan beliau mengambil langkah menyingkirkan kedua-dua pegawai tertinggi agensi kerajaan itu sebagai tidak berasas dan disalah tanggap.
Najib menyatakan demikian ketika membela diri terhadap empat pertuduhan menggunakan kedudukan bagi memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.
Prosiding di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini hakim Mahkamah Rayuan) berlangsung di Kompleks Mahkamah Istana Kehakiman di sini.
Najib selanjutnya menyatakan, SPRM kemudian meneruskan siasatan ke atas 1MDB di bawah kepimpinan baharu tanpa gangguan.
“Penting ditekankan peralihan dalam kepimpinan adalah rutin tadbir urus dan tidak membayangkan penyelewengan atau motif tersembunyi.
“Dakwaan bahawa Peguam Negara baharu ketika itu menutup siasatan kes 1MDB, tidak benar dan mengelirukan,” ujar beliau.
Jelas Najib, siasatan terhadap 1MDB dijalankan melalui pelbagai agensi, termasuk Bank Negara Malaysia, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan penguatkuasaan undang-undang.
Ujar beliau, penyiasatan kemudian diteruskan tanpa halangan dan ia dibuktikan melalui tindakan seterusnya yang diambil oleh entiti tersebut.
Najib didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi pertuduhan pengubahan haram pula antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013 di lokasi sama.
Pertuduhan itu adalah mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi. – MalaysiaGazette