KUALA LUMPUR – Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia terpaksa mengorbankan dua lagi pertandingan pada bulan ini selepas menarik diri daripada Terbuka Malaysia akibat kecederaan.
Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2024 itu mengesahkan tidak akan menyertai dua lagi pertandingan dalam Jelajah Dunia BWF iaitu Terbuka India dan Indonesia Masters.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh TeamLZJ hari ini, keputusan itu diambil selepas pemain tersebut tidak dapat sembuh sepenuhnya daripada kecederaan dialami semasa Jelajah Dunia Akhir pada Disember lalu.
“Penampilan pertama Lee Zii Jia bagi musim 2025 akan ditangguhkan sekali lagi dengan dia sedang dalam proses pemulihan daripada kecederaan ligamen di buku lali kanan yang menimpanya semasa Jelajah Dunia Akhir 2024.
“Zii Jia mengesahkan untuk terlepas dua lagi kejohanan pada Januari iaitu Terbuka India dan Indonesia Masters.
“Team LZJ dengan bantuan pakar perubatan akan terus memantau kecederaan Zii Jia dan memastikan dia dalam keadaan terbaik untuk menyertai kejohanan selepas ini,” tulis TeamLZJ dalam satu kenyataan.
Sebagai rekod, Zii Jia terlepas tiga kejohanan dengan tiga tingkat prestij berbeza pada Januari dengan Terbuka Malaysia merupakan pertandingan Super 1000.
Sementara Terbuka India (14-19 Januari) merupakan pertandingan Super 750 dan Indonesia Masters (21-26 Januari) adalah kejohanan Super 500.
Satu lagi kejohanan yang diadakan pada Januari adalah Thailand Masters yang berkelas Super 300. – MalaysiaGazette