KUALA LUMPUR – Kegagalan kerajaan untuk mendedah dan melaksanakan Titah Adendum yang dikurniakan kepada Datuk Seri Najib Razak sejak setahun lalu merupakan satu ‘kecelakaan’ kepada negara.
Bekas Menteri Undang-Undang, Datuk Seri Zaid Ibrahim berkata, ini kerana tindakan menyembunyi dan ingkar kepada titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA) tidak pernah berlaku di negara ini.
“Inilah satu kecelakaan yang tidak pernah berlaku di negara kita.
“Bila sebuah kerajaan yang dipilih oleh rakyat tipu kita, menghilangkan benda yang ada, menyulitkan perkara yang sepatutnya diberitahu dan menidakkan hak seorang banduan yang juga bekas Perdana Menteri.
“Tak pernah berlaku skandal macam ini, jadi saya bangga dengan NGO dan parti-parti Melayu yang mengambil berat mengenai isu ini,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Semalam, Najib berjaya mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum, Januari tahun lalu.
Titah Adendum berkenaan dikatakan diperkenan YDPA ke-16 yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Keputusan berkenaan dicapai melalui penghakiman majoriti 2-1 oleh Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril, dengan Hakim Datuk Azizah Nawawi memberikan keputusan berbeza.
Penghakiman majoriti itu juga membenarkan permohonan Najib untuk mengemukakan bukti tambahan iaitu surat daripada Majlis Kesultanan Pahang kepada anaknya, Mohamad Nizar yang mengesahkan kewujudan Titah Adendum, bagi menyokong permohonan semakan kehakimannya itu.
Zaid juga melahirkan rasa kecewa dengan kumpulan pro DAP yang memperjuangkan kedaulatan undang-undang yang masih membisu dalam isu ini.
“Saya tak nampak kumpulan-kumpulan yang kononnya memperjuangkan Law and Order, Rule of Law, DAP.
“Ini soal Law and Order (Kedaulatan Undang-Undang), ini isu Perlembagaan dan hak rakyat, tapi bisu, hanya semata-mata kerana pemimpin UMNO terlibat dan orang Islam terlibat,” katanya.
Selain itu, katanya, kegagalan semua jabatan kerajaan berkaitan yang gagal menjawab tentang kewujudan Titah Adendum hinggalah terbukti semalam membuktikan berlaku penipuan.
“Bila Datuk Najib tulis surat kepada semua jabatan Menteri sebelum ini, tak ada seorang pun jawab.
“Itu menunjukkan mereka menipu, tidak telus kerana kerajaan tidak telus, kerajaan yang tidak ikhlas perlu letak jawatan, semua mereka.
“Kerajaan hari ini kena letak jawatan, tidak boleh salahkan pihak lain, dalam Parlimen dipanggil kebertanggungjawaban bersama.
“Saya tak kira, salah peguam negara atau Datuk Seri Azalina Othman, semua kena letak jawatan, rakyat perlu mendesak agar perkara ini berlaku,” katanya.
Katanya, tindakan menyorok Titah Adendum itu berlaku disebabkan banyak maklumat kerajaan diklasifikasikan sebagai sulit hingga menyukarkan untuk dibuat pengesahan.
“Sebab apa? Negara kita ini kebal dengan sulit, semua sulit, sejak 1972, kerana selepas itu 13 Mei, kita terpaksa gubal undang-undang Akta Rahsia Rasmi (OSA), rahsia kerajaan semua sulit.
“Kita tak pernah pinda walaupun keadaan negara telah berubah, negara lain ada sulit tapi mereka sudah ubah, sulit itu hanya melibatkan ketenteraan, keselamatan negara.
“Di Malaysia semuanya sulit, kontrak lebuh raya pun sulit, kita beli vaksin Covid-19 pun sulit harganya, kita buat tender helikopter pun sulit.
“Semuanya dokumen sulit sebab mana-mana pegawai kerajaan boleh tandatangan ia sulit. Itulah negara kita,” katanya. – MalaysiaGazette