JOHOR BAHRU – Perdana Menteri tidak wajar meletak jawatan sebagai Perdana Menteri walaupun selepas titah adendum untuk Datuk Seri Najib Razak dibuktikan wujud di mahkamah semalam.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak wajar dipersalahkan sebaliknya pihak yang bertanggungjawab adalah Peguam Negara atau Jabatan Peguam Negara.
“Pihak yang patut menjawab di mahkamah bukan Anwar Ibrahim tetapi Peguam Negara atau wakilnya dari Jabatan Peguam Negara.
“Hal ini telah ditimbulkan oleh salah seorang hakim Mahkamah Rayuan yang mendengar rayuan Najib Razak semalam.
“Seperti yang disebut oleh hakim berkenaan, bahawa pihak Jabatan Peguam Negara telah gagal memfailkan affidavit untuk menyatakan sama ada titah adendum itu wujud atau tidak. Kegagalan Jabatan Peguam Negara itu tidak sepatutnya dibebankan ke bahu Anwar Ibrahim untuk memikulnya,” katanya dalam kenyataan.
Mahkamah Rayuan Putrajaya semalam membenarkan Najib memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan titah tambahan itu.
Titah adendum berkenaan dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Keputusan majoriti 2 -1 dibuat Hakim Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril membenarkan rayuan Najib untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman itu manakala Hakim Datuk Azizah Nawawi yang mengetuai panel menentangnya.
Sehubungan itu panel memerintahkan supaya kes terbabit diremitkan (dikembalikan) ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur supaya merit semakan kehakiman terbabit dan diputuskan.
Najib, 72, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Julai tahun lalu yang menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman terhadap Titah Adendum yang dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Susulan itu, Pas semalam menggesa Anwar segera melepaskan jawatan kerana didakwa telah hilang kewibawaan dan kredibiliti untuk terus mentadbir negara.
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, ia kerana keputusan Mahkamah Rayuan mengesahkan kewujudan titah adendum berhubung tahanan dalam rumah Najib membuktikan terdapat unsur penyembunyian maklumat penting oleh kerajaan sebelum permohonan beliau difailkan di mahkamah.
Mengulas lanjut, Hassan berkata, pendirian Anwar yang tidak mencampuri urusan mahkamah dan menghormati kebebasan kehakiman wajar dipuji.
“Apakah kita mahu Perdana Menteri campur tangan dalam kerja-kerja profesional peguam-peguam kerajaan yang disebut Federal Counsel dan Peguam Negara di Jabatan Peguam Negara? Tentu kita tidak mahu Anwar terpaksa lakukan sampai ke peringkat itu.
“Melihat dan mendengar Anwar menjawab di Parlimen dalam soal pengampunan Najib Razak dan titah adendum, saya sebagai seorang ahli Parlimen backbencher kerajaan nampak bahawa Perdana Menteri memahami tugasnya dan tugas Jabatan Peguam Negara dan fungsi institusi kehakiman dalam prinsip pemisahan kuasa antara badan eksekutif dan kehakiman,” ujarnya.
Hassan berkata, walaupun Mahkamah Rayuan semalam membenarkan Najib memulakan prosiding semakan kehakiman tersebut, Najib masih belum menang secara mutlak.
Jelasnya, ini kerana Najib perlu berdepan satu perbicaraan penuh substiantif semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur nanti dan bekas Ahli Parlimen Pekan itu mungkin menang atau mungkin juga kalah.
“Tetapi yang jelas menang secara nyata ialah institusi kehakiman.Dengan keputusan 2-1, hakim-hakim Mahkamah Rayuan telah menunjukkan bahawa keputusan kerajaan iaitu badan eksekutif termasuk Lembaga Pengampunan boleh dicabar dan disemak di mahkamah,” ujarnya.
Tambahnya, keadaan itu membuktikan prinsip pemisahan kuasa diramalkan dengan baik di negara ini. – MalaysiaGazette