KUALA LUMPUR – Kerajaan hanya melaksanakan arahan Lembaga Pengampunan mengikut prosedur dokumen diterima yang menyatakan tiada tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Jabatan Penjara hanya berpandukan perintah pembebasan yang mempunyai cop mohor dan juga tandatangan Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Justeru, jelas beliau, sebarang perkara berkait arahan tersebut terbit daripada Lembaga Pengampunan berdasarkan Perlembagaan Perkara 43.
“Pihak KDN khusus Jabatan Penjara telah melaksanakan berpandukan perintah pembebasan yang dipunyai cop mohor dan juga tandatangan Yang Di-Pertuan Agong ke-16.
“Jadi berkaitan kes, kita serah kepada mahkamah kerana dari segi penjelasan proses itu telah dijelaskan prosesnya oleh Menteri Dalam Negeri semalam dan kita ikut prosesnya.
“KDN yang menerima perintah pembebasan itu, mereka ikut prosuder dokumen yang mereka terima dan berlandaskan undang-undang kerana sebarang perkara yang berkait arahan tersebut terbit daripada lembaga pengampunan berdasarkan Perlembagaan perkara 43
“Hal-hal yang lebih terperinci saya percaya akan dibicarakan di mahkamah dan kita serah kepada proses itu untuk lebih lanjut,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Persidangan Kawal Selia Antarabangsa 2025 (IRC 2025), di sini, hari ini.
Beliau ditanya mengenai pendirian kerajaan yang didakwa tidak hormat dengan titah addendum bertarikh 29 Januari 2024 di bawah arahan Al-Sultan Abdullah.
Semalam peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah semasa berhujah di Mahkamah Rayuan mengemukakan bukti tambahan dalam rayuan Najib bagi mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman dalam usaha memohon kerajaan mendedahkan titah adendum dan melaksanakannya.
Peguam itu berkata, anak sulung Najib, Datuk Mohamad Nizar mengetahui kewujudan dokumen titah bertarikh 29 Januari 2024 itu pada 2 Disember tahun lalu melalui surat daripada istana di bawah arahan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Muhamad Shafee berkata, pada 4 Januari lalu, Mohamad Nizar memberitahu beliau diperintah menghadap Sultan Pahang yang memaklumkan kewujudan salinan titah adendum dalam simpanan baginda.
Titah daripada Al-Sultan Abdullah ketikam menjadi Yang di-Pertuan Agong adalah ditujukan kepada Peguam Negara sebelum ini, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh.
Menurut peguam itu, titah adendum yang ditandatangani sendiri oleh Al-Sultan Abdullah wujud namun disembunyikan daripada umum dan mendedahkan ia disahkan sendiri oleh Mohamad Nizar.
Jelas Muhammad Shafee, Mohamad Nizar sendiri menerima dokumen itu namun ia tidak ditandatangani kerana ia adalah rekod peribadi baginda.
Beliau kemudian merujuk sepucuk surat bertarikh 4 Januari lalu yang dialamatkan kepada Mohamad Nizar yang memperakukan kewujudan dan kesahihan titah adendum berkenaan.
Beliau berkata, pihaknya sudah menghantar enam surat termasuk kepada Jabatan Peguam Negara bagi mengesahkan kewujudan titah berkenaan namun ia tidak dijawab.
Semalam, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Najib untuk memulakan semakan kehakiman bagi memohon Menteri Dalam Negeri dan kerajaan menguatkuasakan titah tambahan itu.
Najib bergantung kepada afidavit anaknya, Mohamad Nizar serta surat dari istana Pahang yang mengesahkan kewujudan titah tersebut.
Titah tambahan itu adalah tambahan kepada titah utama yang mengurangkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kepada hukuman penjara enam tahun dan denda RM50 juta.
Najib disabitkan bersalah dalam pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram melibatkan RM42 juta dana SRC International, bekas anak syarikat 1 Malaysia Development Berhad (1MDB). – MalaysiaGazette