KUALA LUMPUR- Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad merujuk Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen, hari ini.
Ia susulan kenyataan yang dibuat Saifuddin mengenai Titah Adendum penahanan di rumah Datuk Seri Najib Razak adalah sekadar khabar angin (hearsay), 7 November lalu.
Menurut Ahli Majlis Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu, Saifuddin telah melakukan kesalahan di bawah di bawah Peraturan 36 (12) kerana mengelirukan Dewan Rakyat dan berbohong.
“Maka wajarlah Parlimen mengambil tindakan dengan merujuk beliau ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana telah mencemari, dan memfitnah kebenaran yang melibatkan kewibawaan mantan Yang di-Pertuan Agong – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Saya menyeru Tuan Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk menyegarakan hal ini dalam sidang Dewan Rakyat yang bakal berlangsung pada bulan Februari nanti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.- MalaysiaGazette