PUTRAJAYA – Sebanyak 12 badan bukan kerajaan (NGO) disenaraihitam daripada program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar (PEKB) pada tahun lalu selepas didapati melanggar kontrak.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, semua NGO berkenaan telah hilang peluang bagi melaksanakan latihan di bawah program berkenaan.
“Kita memang panggil dan adakan libat urus kembali dengan mereka (NGO) dan mana-mana yang memang terkait undang-undang kita serahkan kepada pihak berkuasa dan di sudut seterusnya (kementerian),” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Surat Kelulusan Pelaksanaan Program PEKB Tahun 2025.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha KPKT, Suhaimi Ali @ Ahmad.
Terdahulu, Aiman Athirah dalam ucapannya mengingatkan
supaya NGO yang dipertanggungjawabkan melaksanakan program PEKB mematuhi kontrak perjanjian.
Dalam masa yang sama, beliau mengingatkan supaya NGO yang diamanahkan tidak menyalahgunakan kesempatan untuk mengambil keuntungan daripada inisiatif baik kerajaan menerusi program PEKB.
Jelasnya, program tersebut bukan berorientasikan keuntungan sebaliknya dilaksanakan demi membantu golongan rentan keluar daripada garis kemiskinan.
“Terdapat beberapa kesalahan yang dibuat oleh NGO-NGO yang lepas saya ingin ingatkan semua bahawa matlamat program ini adalah untuk membantu golongan rentan agar mereka dapat keluar daripada kepompong kemiskinan.
“Ia bukanlah program yang berorentasikan keuntungan.
“Namun berdasarkan pelaksanaan program PEKB yang lepas, saya difahamkan masih terdapat beberapa NGO mengambil peluang untuk membuat keuntungan daripada program ini dan melakukan beberapa kesalahan yang melanggar tata cara kontrak perjanjian,” katanya.
Menurut beliau, sekiranya NGO didapati bersalah, melanggar garis panduan teknikal, kementerian tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan serius ke atas mereka termasuk tindakan undang-undang. – MalaysiaGazette