KUALA LUMUR – Seramai 59 individu telah dirakam keterangan polis bagi membantu siasatan berhubung isu buku ‘Becoming Hannah: A Personal Journey’.
Pada masa sama, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, sebanyak 182 laporan polis diterima berkaitan isu berkenaan.
“Setakat ini, seramai 59 individu sudah diambil keterangan bagi membantu siasatan.
“Keterangan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh masih belum diambil, belum ada masa ditetapkan untuk merakam keterangan beliau,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 3 Januari lalu, polis Kuala Lumpur mengesahkan terdapat 157 laporan polis terhadap Hannah diterima di seluruh negara termasuk lapan di ibu negara.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azry Akmar Ayob, memaklumkan, proses merakam percakapan Hannah akan dijalankan dalam masa terdekat.
Sebelum ini, beberapa badan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis bagi menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan buku terbitan Hannah yang disifatkan sebagai bahaya dan mengancam keselamatan negara.
Pada 23 Disember lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman fitnah difailkan terhadap Tan Sri Musa Hassan berhubung kenyataan dibuat bekas Ketua Polis Negara itu pada satu forum di Universiti Teknologi Mara (UiTM), empat tahun lalu. – MalaysiaGazette