JOHOR BAHRU – Perikatan Nasional (PN) digesa menghentikan serangan dan tidak terus menabur fitnah terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Taufiq Ismail berkata, perbuatan tersebut tidak seharusnya berlaku kerana secara tidak langsung boleh mencemarkan reputasi Perdana Menteri dan kerajaan Madani.
“Justeru AMK Johor buat laporan polis berkenaan fitnah yang telah dilemparkan kepada Perdana Menteri, terutamanya melibatkan Titah Adendum terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Setakat ini, beberapa pimpinan pembangkang seperti Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Datuk Rosol Wahid, Fahli Shaari dan S Subramaniam didapati telah membuat hantaran-hantaran yang merupakan fitnah yang berniat jahat dan bertujuan mengancam ketenteraman awam dan mengundang kebencian terhadap Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia.
“Setakat pukul 8.30 malam tadi, saya dimaklumkan sejumlah 50 aduan atau laporan polis telah dibuat oleh rakan-rakan AMK di seluruh negara berhubung perkara ini dan secara keseluruhannya, kami di AMK mengecam fitnah ini. Jangan buat lagi,” katanya.
Taufiq berkata demikian ketika ditemui setelah selesai membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara, di sini, malam tadi.
Hadir sama Naib Ketua AMK Negeri Johor, Muhammad Faezuddin Mohd Puad.
Taufiq, Naib Ketua AMK Johor, Muhammad Faezuddin Mohd Puad termasuk beberapa pimpinan AMK dari sekitar negeri ini tiba ke IPD Johor Bahru Utara pukul 8.30 malam dan selesai membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan pada pukul 10.30 malam.
Selain itu, pimpinan AMK di seluruh negara turut membuat laporan polis secara serentak berhubung isu berkenaan.
Sementara itu, Muhammad Faezuddin berkata, pembangkang terutamanya Pas perlu terus fokus kepada masalah rakyat berbanding ‘menunggang’ beberapa isu politik.
Malah katanya, sepanjang dua tahun sejak Pilihan Raya Umum ke-15, PN tidak pernah mengemukakan belanjawan alternatif atau solusi ekonomi.
“Yang kita nampak pihak mereka kemukakan isu bangsa, agama dan ekstremis dan terbaru macam isu Titah Adendum terhadap Datuk Seri Najib..bukankah dulu Pas yang lantang bersuara sumbatkan Datuk Seri Najib ke penjara?
“Oleh itu rasanya, perkara fitnah ini perlu diberikan perhatian serius kerana kita tidak mahu budaya fitnah ini menjadi amalan pula dalam kalangan ahli politik di negara kita ini,” katanya.- MalaysiaGazette