Khoo (tengah) dan Siam Luang menunjukkan salinan laporan polis selepas sidang akhbar di Pusat Komuniti DUN Perling, Taman Perling, Iskandar Puteri, hari ini

ISKANDAR PUTERI – Seorang warga emas kini hidup dalam ketakutan diugut ah long selepas anak tunggalnya yang meminjam wang lebih RM200,000 menghilangkan diri bersama-sama isterinya.

Menurutnya yang hanya mahu dikenali sebagai Khoo, 63, semuanya bermula apabila dia pulang dari hospital ke rumahnya di Taman Bukit Indah di sini pada Oktober lalu.

“Saya pulang ke rumah selepas menjalani pembedahan usus dan tinggal dalam wad selama 10 bulan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.

“Apabila sampai di rumah, anak dan menantu termasuk dua cucu yang berusia dua dan empat tahun yang tinggal bersama-sama saya sebelum ini sudah tidak ada.

“Beberapa barang dan pakaian mereka juga sudah tidak ada. Saya pada mulanya bingung tidak tahu apa yang terjadi,” katanya ketika ditemui dalam sidang akhbar di Pusat Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Perling, Taman Perling hari ini.

Khoo yang sebelum ini bekerja sebagai pemandu teksi berkata, beberapa hari kemudian beberapa ah long datang ke rumahnya menuntut wang pinjaman.

Katanya, ah long berkenaan mendakwa anaknya meminjam wang dan memintanya melunaskan pinjaman semuanya berjumlah lebih RM200,000.

“Bukan sahaja ah long datang ke rumah tetapi juga ada ahlong lain yang menelefon mahukan saya membayar hutang anak saya. Semua mereka mengugut mahu merosakkan kereta dan rumah saya jika tidak membayarnya,” ujarnya.

Disebabkan tidak tahan dengan ugutan dan bimbang dengan keselamatan dirinya, Khoo membuat laporan di Balai Polis Nusa Bestari pada 31 Disember lalu.

Anaknya yang berusia 27 tahun sebelum ini bekerja di kedai makan di Singapura dan pernah juga meminjam ah long di republik berkenaan.

“Semasa di sana, ah long Singapura juga mengejar dan mengacaunya di tempat kerja sehingga majikan tidak tahan lalu memberhentikannya,” katanya.

Dia tidak tahu sama ada anaknya sudah melunaskan hutang ahlong di Singapura atau hutang ah long di Malaysia tetapi barang kemas, kereta dan motosikal anaknya sudah diambil ah long.

“Isteri saya yang bekerja sebagai pelayan restoran di Singapura tidak berani balik ke rumah disebabkan ancaman ah long. Saya juga bimbang ah long akan turut merosakkan harga benda jiran apabila bertindak nanti,” katanya.

Khoo mahu memutuskan hubungan dengan anaknya dan tidak lagi berhubung dengannya dan kali terakhir mereka bertemu beberapa minggu sebelum dia keluar HSA.

“Saya sudah lebih setahun tidak bekerja kerana sakit dan bergantung hidup dengan ihsan isteri, jiran dan rakan yang memberi makanan dan wang,” katanya lagi.

Sementara itu, Penolong Setiausaha DAP Johor, Ng Siam Luang berkata, anak Khoo perlu bertanggungjawab dan pulang melunaskan semuan hutang ah long.

“Pada masa sama Khoo juga memerlukan penjagaan kerana sudah tidak bekerja dan sakit,” katanya yang juga wakil khas Ahli Parlimen Iskandar Puteri.-  MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here