PUTRAJAYA – Badan Peguam Malaysia mendakwa terabai dan dipinggirkan dalam proses penggubalan undang-undang kerana tidak dilibatkan dalam rundingan sebelum beberapa undang-undang penting diluluskan.
Presidennya, Mohamad Ezri Abdul Wahab berkata, tindakan tersebut merosakkan kepakaran kolektif badan itu meskipun ia mempunyai lebih 24,000 ahli yang mahir dalam pelbagai bidang yang boleh membantu memberi nasihat perundangan.
“Bagaimanapun, kami melihat usaha untuk meminggirkan kami, sama ada dengan menafikan input atau merujuk kepada kami tanpa memberikan penghargaan sebenar kepada pandangan yang dilontarkan,” ujar beliau ketika berucap pada majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2025 di sini hari ini.
Majlis itu menandakan permulaan kalendar Badan Kehakiman Malaysia tahun ini dan ia dihadiri oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang turut menyampaikan ucapan terakhirnya bagi program sedemikian sebelum dijadualkan bersara wajib pada Julai ini.
Turut hadir, Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim; Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim; Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli dan Peguam Negara, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar.
Dalam ucapannya, Mohamad Ezri turut berkata, Badan Peguam sering dituduh bersifat politik dengan mendakwa ia tidak neutral sama ada ketika menentang atau menyokong pemerintahan kerajaan.
Ujarnya, peranan badan itu bukan hanya untuk mentafsir undang-undang malah memperjuangkannya secara adil, inklusif serta mencerminkan keperluan masyarakat.
“Mengabaikan suara kami tidak membawa manfaat kepada rakyat, yang mana undang-undang sepatutnya bertujuan untuk melindungi,” katanya.
Dalam perkembangan berlainan, Mohamad Ezri menggesa kerajaan mempertimbang reformasi serius dalam mencari alternatif kepada hukuman penjara.
Beliau menyatakan, hukuman sedemikian seringkali dilihat gagal memulihkan atau menghormati maruah asasi dan mungkin akan dilihat sebagai lapuk serta tidak berkesan.
“Peralihan ke arah keadilan pemulihan boleh menangani isu asas yang membawa kepada jenayah seperti kemiskinan, kekurangan pendidikan dan perjuangan kesihatan mental.
“Perubahan perundangan perlu untuk menggalakkan hukuman alternatif, pelaburan dalam program berasaskan komuniti dan tumpuan kepada pemulihan,” ujarnya. – MalaysiaGazette
Pandangan yg merepek…hak pembunuh dibela..hak mangsa diabaikan…malah lebih teruk…duit pembayar cukai digunakan untuk menanggung kehidupan penjenayah