KULAI – Proses bedah siasat ke atas mayat seorang wanita dan bayi yang ditemui mati di tepi Jalan Impiana 5, Taman Impiana, Kelapa Sawit, di sini, semalam sudah selesai.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, bagaimanapun setakat ini punca kematian masih belum diketahui dan pihaknya masih menunggu siasatan dan keputusan pihak makmal.
“Bedah siasat telah selesai dan keputusan doktor, punca kematian masih ‘pending’ dalam siasatan,” katanya mengulas mengenai perkembangan siasatan kes berkenaan, hari ini.
Beliau memaklumkan identiti wanita yang meninggal dunia itu masih belum dapat dikenal pasti dan kini kedua-dua mayat masih berada di Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.
Semalam, beliau dilaporkan mengesahkan penemuan mayat wanita yang juga warga asing itu bersama bayi berkenaan.
Katanya, Balai Polis Kelapa Sawit menerima panggilan telefon daripada orang awam pada pukul 8.15 pagi memberitahu terlihat seorang wanita, bangsa tidak pasti terbaring di tepi jalan.
Polis yang bertindak atas maklumat ke lokasi mendapati seorang wanita terbaring di tepi jalan bersama seorang bayi lelaki dengan tali pusat belum dipotong.
Seng Lee juga dilaporkan berkata, tiada sebarang kecederaan luaran pada mayat wanita dan bayi itu dan ditemui satu organ dipercayai uri berhampiran tempat mayat dijumpai.
Kes disiasat di bawah Seksyen 316 Kanun Keseksaan.
Pada masa sama, beliau meminta mana-mana saksi yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu untuk tampil memberi maklumat di balai polis terdekat atau menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah Inspektor Arun Ramamoorthy di talian 013-3332385.- MalaysiaGazette