Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Ringgit kekal tidak berubah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) namun lebih tinggi berbanding mata wang utama lain ketika dibuka pada Rabu susulan permintaan meningkat terhadap dolar apabila data utama ekonomi AS dikeluarkan semalam, kata penganalisis.

Pada pukul 8 pagi, ringgit kekal mendatar pada paras 4.850/4.4900 berbanding dolar AS sejak ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, Indeks Dolar AS (DXY) kembali memperoleh momentum selepas “Job Openings and Labour Turnover Survey” (JOLTS) melaporkan lebih banyak pekerjaan tersedia pada November tahun lepas.

Beliau berkata, selain itu sentimen perniagaan dalam sektor perkhidmatan bertambah positif pada Disember 2024 dengan Indeks ISM bagi sektor bukan pembuatan meningkat kepada 54.1 mata daripada 52.1 mata pada bulan sebelumnya.

“Jadi, ini bermakna dolar AS akan kekal positif memandangkan Rizab Persekutuan AS (Fed) mungkin tidak tergesa-gesa untuk menurunkan lagi kadar faedah. Ini juga bermakna mata wang negara sedang pesat membangun termasuk ringgit dijangka lebih lemah berbanding dolar AS,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berpendapat kenaikan Indeks ISM yang tidak dijangka itu telah membawa penjualan bon Perbendaharaan AS, mendorong hasil menjadi lebih tinggi dan memberi tekanan negatif ke atas pasaran ekuiti.

Hasil Perbendaharaan AS berjangka dua tahun dan 10 tahun meningkat sebanyak 2.0 dan 5.0 mata asas untuk masing-masing ditutup pada paras 4.30 peratus dan 4.67 peratus.

“Data ini secara efektif telah meredakan sebarang jangkaan baki penurunan kadar Fed yang akan berlaku dalam tempoh terdekat,” katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding yen Jepun pada 2.8348/8384 daripada 2.8458/8492 ketika ditutup semalam, dan meningkat berbanding euro kepada 4.6384/6436 daripada 4.6756/6808.

Unit tempatan juga lebih stabil berbanding pound British kepada 5.5955/6017 daripada 5.6341/6403 semalam.

Bagaimanapun, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang negara ASEAN.

Ringgit meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.9684/9911 daripada 13.0045/0258, dan sedikit naik berbanding dolar Singapura kepada 3.2864/2906 daripada 3.2983/3022 ketika ditutup pada Selasa.

Mata wang domestik kekal tidak berubah berbanding rupiah Indonesia dan peso Filipina, masing-masing pada paras 277.7/278.2 dan 7.71/7.72. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here