KUALA LUMPUR – Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) yang bermesyuarat semalam menerima cadangan supaya dana Wakaf Mara digunakan untuk membantu pelajar miskin bagi perbelanjaan awal memasuki Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan institusi pengajian tinggi (IPT).
Perkara itu dikongsi Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau semalam.
Menurut Asyraf Wajdi, kos awal seperti perbelanjaan untuk memasuki asrama sama ada MRSM, IPT dan sekolah berasrama penuh (SBP) kebiasaannya memerlukan perbelanjaan besar antara RM1,500 hingga RM2,000.
Ujar beliau, kos perbelanjaan itu amat membebankan kepada golongan miskin dan berpendapatan rendah.
“Seringkali tawaran ke MRSM dan IPT ditolak kerana tak mampu untuk menyediakan perbelanjaan seperti itu.
“Sebab itulah Wakaf Mara diwujudkan untuk menggembleng dana bagi maksud dan tujuan seperti ini,” katanya.
Semalam, mesyuarat MEB Bilangan 1 Tahun 2025 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membincangkan kertas-kertas berkaitan pemerkasaan syarikat bumiputera dalam pemerolehan kerajaan melalui Program mySTI dan hala tuju pelaksanaan Wakaf Mara Madani.
Terdahulu, pada Julai tahun lalu, MEB turut bersetuju menyalurkan dana awal berjumlah RM100 juta kepada Tabung Wakaf Mara bagi membantu pelajar bumiputera miskin di institusi itu. – MalaysiaGazette