KUALA LUMPUR – Individu dipercayai anak kepada pelukis maskot Tahun Melawat Malaysia 2026 tampil mempertahankan hasil karya ayahnya itu bukan dijana menerusi penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Sebaliknya, individu berkenaan yang menggunakan nama Emy menerusi laman sosial X menjelaskan, maskot itu adalah sepenuhnya hasil kreatif oleh bapanya.
Malah, Emy menerusi ciapan itu turut berkongsi beberapa keping lakaran maskot beruang matahari di atas meja dipercayai dilakar dan dilukis oleh bapanya.
“Hi this is not AI, this is an original drawing by ayah saya,” demikian menurut ciapan itu.
Terdahulu, maskot beruang matahari yang diberi nama Wira dan Manja yang diperkenalkan Tourism Malaysia sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 itu mendapat pujian ramai yang menganggapnya sangat cantik dan berkualiti tinggi.
Bagaimanapun, terdapat netizen yang mempersoalkan imej grafik maskot itu seolah-olah dijana oleh AI.
Sementara itu, Emy menerusi ciapan lain turut berkongsi mesej WhatApps bersama bapanya sepanjang proses menyiapkan lakaran maskot tersebut selepas masih ada pihak yang meragui keasliannya.
Menurut Tourism Malaysia, logo Tahun Melawat Malaysia 2026 itu mengetengahkan kekayaan budaya Malaysia selain meletakkan keindahan semula jadi dan daya tarikan global.
“Beruang Matahari Malaya, spesies terancam yang membanggakan dan simbol komitmen Malaysia terhadap pemuliharaan hidupan liar, telah diguna pakai sebagai ikon rasmi untuk kempen tersebut.
“Direka dalam gaya animasi yang menggembirakan, Beruang Matahari Malaya bertujuan untuk menarik perhatian semua peringkat umur, membangkitkan rasa kemesraan dan kegembiraan, serta meningkatkan lagi imej Malaysia sebagai destinasi yang mengalu-alukan pelancong,” katanya. – MalaysiaGazette