KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merobohkan struktur haram di rezab jalan awam di sekitar kawasan Bukit Bintang dalam operasi bersepadu pada 6 Januari lalu.
Operasi itu dilakukan oleh Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Elektrikal, Jabatan Integriti, Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar serta Pejabat Cawangan Bukit Bintang, Polis Diraja Malaysia, Tenaga Nasional Berhad, Syarikat Bekalan Air Selangor dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Pembersihan Awam serta Alam Flora.
Hasil daripada operasi yang dijalankan, sebanyak sembilan premis yang membina struktur tambahan hingga menutup longkang dan laluan awam telah dirobohkan.
Manakala dua buah premis lagi telah membuka struktur tambahan yang dibina itu sendiri.
Selain itu, sebanyak tujuh kes sitaan serta-merta telah dilaksanakan atas kesalahan meletakkan barangan di tempat awam di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.
Katanya, kesemua sisa struktur yang dirobohkan telah dilupuskan oleh DBKL selepas tamat operasi yang dijalankan dan kesemua barangan yang dikenakan tindakan sita telah dibawa ke Setor Sitaan Jalan Lombong, Taman Miharja Cheras, Kuala Lumpur untuk tindakan rekod dan dokumentasi.
Pihak DBKL akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari semasa ke semasa di lokasi tumpuan yang telah dikenalpasti. Sebarang aduan, orang awam boleh berhubung atau menyalurkan maklumat dipautan tertera seperti berikut. – MalaysiaGazette