TELUK INTAN – Seorang pemilik syarikat penyelenggaraan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Teluk Intan pada Rabu atas empat pertuduhan menggunakan dokumen palsu pada Sijil Electronic Fire Extinguisher Inspection System (eFEiS) pada alat pemadam api, bulan lalu.
Tertuduh, Sha Arifin Mohammad Jamal, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan ke atasnya di hadapan Majistret Naidatul Athirah Azman.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan curangnya telah menggunakan sebagai tulen tiga dokumen iaitu Sijil eFEiS alat pemadam api dengan tiga nombor siri berbeza yang mana tertuduh mempunyai sebab bahawa dokumen tersebut adalah palsu.
Dia didakwa melakukan kesalahan berkenaan di sebuah restoran di Lorong Lagenda 8, Medaniaga Lagenda di Hutan Melintang, pada jam lebih kurang 3.42 petang, pada 31 Disember 2024.
Sementara bagi pertuduhan keempat, Sha Arifin didakwa dengan curangnya menggunakan sebagai tulen satu dokumen iaitu Sijil eFEiS alat pemadam api dengan satu nombor siri yang juga tertuduh mempunyai sebab bahawa dokumen berkenaan palsu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah pusat hiburan di Lorong Lagenda 1, Medaniaga Lagenda, Hutan Melintang pada jam lebih kurang 1.45 petang, pada tarikh sama.
Dokumen palsu sijil eFEiS pemadam api Pemilik syarikat tidak mengaku empat pertuduhan tertuduh mahkamah Sha Arifin
Seorang pemilik syarikat penyelenggaraan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Teluk Intan pada Rabu atas empat pertuduhan menggunakan dokumen palsu pada sijil Electronic Fire Extinguisher Inspection System (eFEiS) pada alat pemadam api, bulan lalu.
Kesemua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama, yang mana jika disabitkan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Izzuddin Fakri Hamdan, sementara tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) M Saravanan.
Izzuddin menawarkan jaminan RM10,000 bagi tiga pertuduhan pertama dan RM7,000 bagi pertuduhan keempat dengan masing-masing seorang penjamin.
Saravanan kemudian merayu agar mahkamah mengenakan hukuman yang minimal memandangkan anak guamnya bekerja sendiri selain perlu menanggung seorang isteri yang juga suri rumah serta anak.
Mahkamah membenarkan agar tertuduh ditawarkan ikat jamin RM7,500 dan RM2,500 bagi semua pertuduhan, selain menetapkan 12 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes serta serahan dokumen.
Media pada Selasa melaporkan, polis menahan 10 individu di sekitar Bagan Datuk dan Kuala Lumpur kerana dipercayai terlibat dalam sindiket penipuan dan pemalsuan pelekat eFEiS pada alat pemadam, api minggu lalu.
Pemangku Ketua Polis Perak Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, kegiatan itu dikesan selepas polis menerima laporan berhubung tindakan dua lelaki menawarkan perkhidmatan penyelenggaraan dengan harga RM100 bagi setiap alat pemadam api. – MalaysiaGazette