Dua kakitangan badan berkanun di Perlis ditahan SPRM bersama merampas barangan mewah bernilai RM100,000.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perlis telah menahan dua kakitangan sebuah badan berkanun di negeri ini termasuk seorang pengurus akaun kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dan penyelewengan wang untuk kegunaan peribadi bernilai kira-kira RM600,000.

Perintah reman selama empat hari sehingga 11 Januari 2025 telah dikeluarkan Majistret Nurshahida Abdul Rahim selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kangar, Perlis pagi tadi.

Menurut sumber, kedua-dua suspek wanita berusia antara 30 dan 40-an itu telah ditahan kira-kira jam 1 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Perlis.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2020 hingga 2024.

“SPRM Perlis juga telah menyita dan merampas barangan mewah termasuk barangan kemas berjumlah kira-kira RM100,000 dipercayai diperolehi hasil daripada perlakuan jenayah tersebut,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Perlis, Mohd Nor Adha Ab Gani ketika dihubungi mengesahkan penahanan mereka dan akan melihat aspek tatakelola jika wujud kelemahan sistem dan prosedur berkaitan pengurusan terimaan dan perbelanjaan di badan berkanun tersebut bagi menutup ruang dan peluang berlakunya salah guna kuasa.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here