KUANTAN – Dua suri rumah terpaksa berputih mata apabila menanggung kerugian wang tunai dan barang kemas kira-kira RM300,000 akibat terpedaya dengan Skim Pelaburan Tidak Wujud dan Penipuan Bersemuka.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kejadian melibatkan seorang wanita warga emas berumur 67 tahun yang kerugian wang simpanan RM160,000 dan seorang wanita berusia 57 tahun yang kerugian wang simpanan serta barang kemas sebanyak RM137,500.
“Warga emas itu telah melihat iklan melalui aplikasi YouTube tentang pelaburan saham P Glo Pro pada 8 Disember lalu dan menyertai WhatsApp group di mana mangsa dijanjikan akan menerima keuntungan setiap hari,” katanya dalam kenyataan.
Berikutan itu, katanya mangsa terdorong untuk memasukkan wang sebanyak RM160,000 menerusi tiga transaksi ke dua akaun bank berbeza yang diberikan suspek.
Bagaimanapun, Yahaya berkata, mangsa mula menyedari ditipu setelah suspek memintanya untuk membuat pembayaran lagi bagi tujuan menebus keuntungan yang diterima sebanyak RM500,000.
Dalam kes berasingan pada 7 Januari 2025, beliau memberitahu seorang suri rumah berusia 57 tahun didatangi tiga orang perempuan yang bertanya alamat rumah individu yang tidak dikenali.
“Kemudian, mangsa diminta untuk mengambil wang simpanan di rumahnya dan di bank. Mangsa juga telah menyerahkan barang kemas anggaran 250g dan emas 999 kepada wanita berkenaan.
“Mangsa mengesyaki dirinya dipukau setelah berada di rumah. Mangsa mengalami kerugian anggaran RM137,500.00 hasil dari wang simpanan dan barang kemas,” tambahnya. – MalaysiaGazette