JOHOR BAHRU – Empat das kesan tembakan ditemui pada badan lelaki yang maut ditembak di hadapan sebuah kedai makan di Taman Setia Indah di sini hari ini.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, satu pasukan khas dari Jabatan Siasatan Jenayah sudah ditubuhkan untuk menyiasat secara menyeluruh kes terbabit.
https://malaysiagazette.com/2025/01/08/lelaki-maut-ditembak-ketika-makan-dalam-restoran/
“Pasukan terbabit juga akan mengenal pasti semua individu terlibat dalam kejadian berkenaan.
“Pada pukul 12 tengah hari, polis menerima maklumat berkaitan kes bunuh membabitkan seorang lelaki berusia lingkungan 40-an di hadapan sebuah kedai makan di Taman Setia Indah.
“Hasil siasatan awal mendapati terhadap empat kesan das tembakan pada badan mangsa. Punca kematian dan motif kejadian masih disiasat.
“Kes diklasifikasikan dan disiasat mengikut Sesksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kumar meminta orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau membuat komen yang boleh mengganggu proses siasatan atau memanipulasi fakta dengan tujuan menimbulkan kegusaran kepada awam.
Katanya, masyarakat diminta agar tidak panik dengan kejadian yang berlaku itu.
“Polis memberi jaminan bahawa kejadian yang berlaku merupakan kes terpencil dan tiada kaitan dengan isu keselamatan atau ancaman kepada negeri Johor.
“Orang ramai dialu-alukan untuk menyalurkan maklumat
berkaitan kejadian dan berhubung terus di talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di 07-2182323 atau menghubungi pegawai
penyiasat kes ASP Nor Azizi Indzam di talian 013- 7878771,” katanya.
Sebelum itu, seorang lelaki dilaporkan maut dipercayai ditembak di sebuah restoran di taman berkenaan pukul 12 tengah hari tadi.
Difahamkan kejadian berlaku ketika mangsa sedang makan tengah hari bersama-sama rakannya.
Tular sebuah video berdurasi 11 saat menunjukkan orang ramai dan kenderaan polis serta anggota berada di lokasi kejadian.- MalaysiaGazette