Tun Faisal Ismail Aziz

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggesa Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menjelaskan pihak di dalam Lembaga Pengampunan yang membuat keputusan tidak mengiktiraf titah adendum terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan pihak yang memutuskan ia tidak sah.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu juga perlu menjelaskan siapa di dalam Lembaga Pengampunan yang memutuskan supaya titah adendum itu disembunyikan daripada pengetahuan kementerian dan agensi pelaksana seperti Kementerian Dalam Negara (KDN) dan Jabatan Penjara.

Dalam masa sama, beliau turut menggesa Fahmi mendedahkan pihak yang mengarahkan titah adendum tersebut disembunyikan daripada pengetahuan rakyat.

“Setakat ini yang diketahui Ahli-ahli Mesyuarat Lembaga Pengampunan adalah YDPA (Yang di-Pertuan Agong) sebagai Pengerusi, Menteri Wilayah Persekutuan, Peguam Negara dan tiga lantikan yang tidak diketahui siapa mereka, dan urusetianya, difahamkan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri.

“Selain YDPA, hanya ada dua kemungkinan sahaja yang membuat keputusan, sama ada Menteri Wilayah Persekutuan atau Peguam Negara, kedua-duanya adalah subordinat di bawah Jabatan Perdana Menteri,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.

Semalam, Fahmi menyangkal dakwaan Kerajaan Perpaduan mengabaikan titah adendum kerana pelaksanaan pengurangan hukuman dan denda ke atas Najib mengikut perintah Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Malah, jelas Fahmi, perintah tersebut mempunyai cop mohor dan tandatangan Seri Paduka Baginda ketika itu, justeru KDN telah menerima perintah pembebasan tersebut mengikut prosedur betul.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan, Jabatan Penjara tidak menerima sebarang titah tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Sebaliknya, tegas Saifuddin Nasution, pihak penjara hanya menerima surat daripada Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri berkaitan pengurangan hukuman dan denda membabitkan Najib.

Sementara itu, Tun Faisal Ismail berkata, Najib tidak perlu melalui perbicaraan di Mahkamah Rayuan pada 6 Januari lalu, sebaliknya kerajaan hanya perlu menyerahkan salinan titah adendum tersebut kepada mahkamah dan mengesahkan kewujudannya.

Dalam masa sama, ujar beliau, Mahkamah Tinggi juga tidak perlu bersidang untuk memutuskan permohonan semakan kehakiman Najib mengenai status keabsahan titah adendum itu pada 13 Januari depan.

“Kerajaan PH-BN dan PM10 (Datuk Seri Anwar Ibrahim) hanya perlu menjunjung titah adendum dan melaksanakannya, jadi tidak perlulah DS Najib meneruskan permohonan semakan kehakiman yang dibuatnya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here